Dec 13, 2010

Permainan Tradisional Masa Lapang Bersama Upin & Ipin Dan Kawan-Kawan

0 comments
Aku minat betul dengan Upin & Ipin ni. Comey sesangat. Melalui kartun diorang budak-budak sekarang boleh tau permainan tradisional yang makin dilupakan. Jadi dengan itu, hari ni Pos Malaysia mengeluarkan setem Permainan Tradisional Masa Lapang Bersama Upin & Ipin Dan Kawan-Kawan. So, apa tunggu lagi? Dapatkannya di Pejabat Pos berhampiran anda.

******************


Malaysia memang kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, konda-kondi, galah panjang dan lain-lain. Permainan tradisional bukan sahaja seronok dimainkan beramai-ramai, malahan memupuk semangat kerjasama dan setiakawan, meningkatkan daya kreativiti dan secara tidak langsung mengeratkan silaturrahim. Disebabkan perubahan zaman dan teknologi, permainan tradisional semakin dilupakan. Kini Upin & Ipin dan kawan-kawan tampil dengan setem permainan tradisional dengan harapan dapat memperkenalkan permainan ini kepada generasi baru dan mengimbau kembali zaman kanak-kanak bagi golongan dewasa.


Batu Seremban

Batu Seremban merupakan permainan tradisional yang sering dimainkan oleh kanak-kanak perempuan di serambi, di dalam rumah atau di mana-mana di kawasan rata yang bersih untuk dijadikan tempat duduk dan bermain. Lima biji batu atau objek kecil yang dikenali sebagai buah diperlukan untuk bermain permainan ini. Selain daripada jumlah kebiasaan iaitu 5 biji batu/buah, permainan ini boleh dimainkan dengan 7 atau 9 biji batu/buah. Pemain perlu duduk di atas dan menyelerakkan buah di atas lantai. Kemudian, pemain perlu melambungkan satu buah ke udara dan menyambutnya semula sambil mengambil satu batu yang diselerakkan di atas lantai dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Permainan ini bermula dengan peringkat pertama yang mudah yang dikenali sebagai batu satu hinggalah ke batu lima/tujuh/sembilan dan permainan ini akan menjadi semakin mencabar. Orang pertama yang menyempurnakan kesemua peringkat dikira sebagai pemenang.

Gambar pada setem: Mei Mei dan Devi asyik bermain batu seremban di rumah opah. Mei Mei merupakan seorang budak perempuan comel yang baik hati dan rajin. Di sebalik rupa yang comel, Mei Mei sebenarnya seorang yang lantang bersuara. Inilah yang menyebabkan Mei Mei nampak garang dan suka mengarah kawan-kawannya. Manakala Devi merupakan rakan baik Mei Mei yang murah dengan senyuman dan suka bermain masak-masak. Andai Mei Mei lantang bersuara, perwatakan Devi pula bertentangan dengan Mei Mei, dia lebih bersikap lemah lembut apabila bercakap.


Congkak

Satu lagi permainan yang kerap dimainkan oleh kaum perempuan ialah congkak. Congkak sangat digemari kerana permainannya mudah dan menyeronokkan. Guli/biji saga/anak batu yang dijadikan sebagai 'buah' akan diisi dalam setiap 'kampung' mengikut jumlah 'kampung' yang ada. Objektif utama permainan ini adalah untuk mengumpul buah sebanyak mungkin ke dalam 'ibu' sendiri. Pemain akan duduk bertentangan sesama sendiri dan memasukkannya satu per satu bermula dari kanan ke kiri hinggalah ke kampung pihak lawan. Permainan ini berjalan sehinggalah mereka menghabiskan buah tersebut yang dikumpulkan di 'ibu' masing-masing. Pemain yang berjaya mengumpul buah terbanyak dikira pemenang.

Gambar pada setem: Opah dan Kak Ros sedang bermain congkak. Opah merupakan gelaran nenek yang dipanggil Upin & Ipin dan Kak Ros. Opah yang lemah lembut dan berhati mulia ini sering memanjakan kehendak Upin & Ipin. Opah juga seorang yang suka memberikan nasihat yang penuh ilmiah dan bermakna. Manakala Kak Ros adalah kakak kepada Upin & Ipin memang terkenal dengan sifat garang yang menakutkan. Kak Ros yang bersikap tegas terhadap adik-adiknya yang nakal ini sebenarnya seorang yang lembut dan penyayang serta suka bergurau dengan adik-adiknya.

Batu Seremban || Congkak

Perang-Perang

Main perang-perang merupakan permainan yang digemari olah kanak-kanak lelaki. Mereka biasanya menghasilkan senjata sendiri seperti senapang kayu dan lastik menggunakan buah ceri atau terung belanda sebagai peluru. Ada juga menggunakan kotak terpakai untuk dijadikan kubu. Dua pasukan diperlukan untuk permainan ini, makin ramai makin seronok. Setiap pasukan akan mengatur strategi untuk menyerang pihak lawan. Siapa yang terkena tembakan peluru dikira 'mati'. Pasukan yang mampu bertahan dianggap pemenang.

Gambar pada setem: Upin, Ipin dan Ehsan sedang bermain perang-perang. Ehsan merupakan ketua kelas Upin &Ipin yang sering menjadi pengadil dalam sesebuah permainan dengan mengenakan tali leher kupu-kupu. Ehsan yang kuat makan ini juga merupakan anak manja dalam keluarganya. Oleh itu dia sering mendapat pelbagai mainan baru dan tidak meminjamkannya kepada orang lain.


Telefon Tin

Telefon tin merupakan permainan tradisional yang semakin dilupakan. Dengan menggunakan dua tin kosong dan dawai yang disambungkan pada setiap tapak tin, telefon tin telah siap dibuat. Ada juga yang menggunakan cawan kertas yang disambungkan dengan menggunakan tali rafia. Setiap pemain akan memegang tin dan menjarakkan diri masing-masing bagi menegangkan dawai. Pemanggil akan bercakap pada tin manakala penerima akan meletakkan tin yang lagi satu pada telinganya. Suara pemanggil akan kedengaran di tin yang satu lagi. Begitulah cara telefon tin dimainkan. Permainan ini adalah cara yang menarik untuk menghantar mesej dan maklumat rahsia kepada kawan-kawan.

Gambar pada setem: Fizi dan Mail sedang bermain telefon tin. Fizi ialah kawan baik Ehsan yang sentiasa ada di mana sahaja dia berada. Dia suka bergurau dengan memanggil Ehsan "Intan-Payung". Fizi yang suka mengusik dan mengajuk kata-kata orang ini sebenarnya seorang yang kuat menangis. Manakala Mail ialah seorang budak lelaki yang suka berniaga dan menjual apa sahaja dengan laungan harga "Dua seringgit!". Berbanding dengan kawan-kawan yang lain, Mail kebiasaannya lebih bersifat bersahaja dan suka mengusik kawan-kawannya.

Perang-Perang || Telefon Tin


Galah Panjang

Galah panjang merupakan permainan tradisional yang tidak dimainkan secara individu, tetapi secara berkumpulan, satu kumpulan penyerang dan satu lagi kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja. Setiap pemain hendaklah melepasi semua garisan penghalang bermula di garisan permulaan hinggalah ke garisan belakang sekali dan kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh pasukan bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oelh peserta bertahan maka pemain itu dikira mati. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak, juga diminati oleh golongan dewasa kerana permainan ini membawa kenangan nostalgia yang menggembirakan.


Konda-Kondi

Konda-kondi adalah satu permainan tradisional kegemaran kanak-kanak Malaysia. Pada kebiasaannya, permainan ini akan terdiri dari 2 pasukan yang bertanding untuk mendapat markah yang tertinggi. Bilangan pemain terdiri dari 4 hingga 10 orang. Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil, masing-masing berukuran 15cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini adalah berbentuk silinder dan mempunyai ukuran diameter sepanjang 2cm. Lubang sebesar 2 inci diameter dikorek sedalam 2 inci pada permukaan tanah. Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang. Ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang. Mata akan diberikan berdasarkan jarak kayu pendek dari lubang.

Galah Panjang || Konda-Kondi


Sampul Surat Hari Pertama
Guli


Lembaran Mini
Main Bayang-Bayang


Folder


Maximum Card


Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings