Showing posts with label 2010. Show all posts
Showing posts with label 2010. Show all posts
Dec 13, 2010

Permainan Tradisional Masa Lapang Bersama Upin & Ipin Dan Kawan-Kawan

0 comments
Aku minat betul dengan Upin & Ipin ni. Comey sesangat. Melalui kartun diorang budak-budak sekarang boleh tau permainan tradisional yang makin dilupakan. Jadi dengan itu, hari ni Pos Malaysia mengeluarkan setem Permainan Tradisional Masa Lapang Bersama Upin & Ipin Dan Kawan-Kawan. So, apa tunggu lagi? Dapatkannya di Pejabat Pos berhampiran anda.

******************


Malaysia memang kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, konda-kondi, galah panjang dan lain-lain. Permainan tradisional bukan sahaja seronok dimainkan beramai-ramai, malahan memupuk semangat kerjasama dan setiakawan, meningkatkan daya kreativiti dan secara tidak langsung mengeratkan silaturrahim. Disebabkan perubahan zaman dan teknologi, permainan tradisional semakin dilupakan. Kini Upin & Ipin dan kawan-kawan tampil dengan setem permainan tradisional dengan harapan dapat memperkenalkan permainan ini kepada generasi baru dan mengimbau kembali zaman kanak-kanak bagi golongan dewasa.


Batu Seremban

Batu Seremban merupakan permainan tradisional yang sering dimainkan oleh kanak-kanak perempuan di serambi, di dalam rumah atau di mana-mana di kawasan rata yang bersih untuk dijadikan tempat duduk dan bermain. Lima biji batu atau objek kecil yang dikenali sebagai buah diperlukan untuk bermain permainan ini. Selain daripada jumlah kebiasaan iaitu 5 biji batu/buah, permainan ini boleh dimainkan dengan 7 atau 9 biji batu/buah. Pemain perlu duduk di atas dan menyelerakkan buah di atas lantai. Kemudian, pemain perlu melambungkan satu buah ke udara dan menyambutnya semula sambil mengambil satu batu yang diselerakkan di atas lantai dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Permainan ini bermula dengan peringkat pertama yang mudah yang dikenali sebagai batu satu hinggalah ke batu lima/tujuh/sembilan dan permainan ini akan menjadi semakin mencabar. Orang pertama yang menyempurnakan kesemua peringkat dikira sebagai pemenang.

Gambar pada setem: Mei Mei dan Devi asyik bermain batu seremban di rumah opah. Mei Mei merupakan seorang budak perempuan comel yang baik hati dan rajin. Di sebalik rupa yang comel, Mei Mei sebenarnya seorang yang lantang bersuara. Inilah yang menyebabkan Mei Mei nampak garang dan suka mengarah kawan-kawannya. Manakala Devi merupakan rakan baik Mei Mei yang murah dengan senyuman dan suka bermain masak-masak. Andai Mei Mei lantang bersuara, perwatakan Devi pula bertentangan dengan Mei Mei, dia lebih bersikap lemah lembut apabila bercakap.


Congkak

Satu lagi permainan yang kerap dimainkan oleh kaum perempuan ialah congkak. Congkak sangat digemari kerana permainannya mudah dan menyeronokkan. Guli/biji saga/anak batu yang dijadikan sebagai 'buah' akan diisi dalam setiap 'kampung' mengikut jumlah 'kampung' yang ada. Objektif utama permainan ini adalah untuk mengumpul buah sebanyak mungkin ke dalam 'ibu' sendiri. Pemain akan duduk bertentangan sesama sendiri dan memasukkannya satu per satu bermula dari kanan ke kiri hinggalah ke kampung pihak lawan. Permainan ini berjalan sehinggalah mereka menghabiskan buah tersebut yang dikumpulkan di 'ibu' masing-masing. Pemain yang berjaya mengumpul buah terbanyak dikira pemenang.

Gambar pada setem: Opah dan Kak Ros sedang bermain congkak. Opah merupakan gelaran nenek yang dipanggil Upin & Ipin dan Kak Ros. Opah yang lemah lembut dan berhati mulia ini sering memanjakan kehendak Upin & Ipin. Opah juga seorang yang suka memberikan nasihat yang penuh ilmiah dan bermakna. Manakala Kak Ros adalah kakak kepada Upin & Ipin memang terkenal dengan sifat garang yang menakutkan. Kak Ros yang bersikap tegas terhadap adik-adiknya yang nakal ini sebenarnya seorang yang lembut dan penyayang serta suka bergurau dengan adik-adiknya.

Batu Seremban || Congkak

Perang-Perang

Main perang-perang merupakan permainan yang digemari olah kanak-kanak lelaki. Mereka biasanya menghasilkan senjata sendiri seperti senapang kayu dan lastik menggunakan buah ceri atau terung belanda sebagai peluru. Ada juga menggunakan kotak terpakai untuk dijadikan kubu. Dua pasukan diperlukan untuk permainan ini, makin ramai makin seronok. Setiap pasukan akan mengatur strategi untuk menyerang pihak lawan. Siapa yang terkena tembakan peluru dikira 'mati'. Pasukan yang mampu bertahan dianggap pemenang.

Gambar pada setem: Upin, Ipin dan Ehsan sedang bermain perang-perang. Ehsan merupakan ketua kelas Upin &Ipin yang sering menjadi pengadil dalam sesebuah permainan dengan mengenakan tali leher kupu-kupu. Ehsan yang kuat makan ini juga merupakan anak manja dalam keluarganya. Oleh itu dia sering mendapat pelbagai mainan baru dan tidak meminjamkannya kepada orang lain.


Telefon Tin

Telefon tin merupakan permainan tradisional yang semakin dilupakan. Dengan menggunakan dua tin kosong dan dawai yang disambungkan pada setiap tapak tin, telefon tin telah siap dibuat. Ada juga yang menggunakan cawan kertas yang disambungkan dengan menggunakan tali rafia. Setiap pemain akan memegang tin dan menjarakkan diri masing-masing bagi menegangkan dawai. Pemanggil akan bercakap pada tin manakala penerima akan meletakkan tin yang lagi satu pada telinganya. Suara pemanggil akan kedengaran di tin yang satu lagi. Begitulah cara telefon tin dimainkan. Permainan ini adalah cara yang menarik untuk menghantar mesej dan maklumat rahsia kepada kawan-kawan.

Gambar pada setem: Fizi dan Mail sedang bermain telefon tin. Fizi ialah kawan baik Ehsan yang sentiasa ada di mana sahaja dia berada. Dia suka bergurau dengan memanggil Ehsan "Intan-Payung". Fizi yang suka mengusik dan mengajuk kata-kata orang ini sebenarnya seorang yang kuat menangis. Manakala Mail ialah seorang budak lelaki yang suka berniaga dan menjual apa sahaja dengan laungan harga "Dua seringgit!". Berbanding dengan kawan-kawan yang lain, Mail kebiasaannya lebih bersifat bersahaja dan suka mengusik kawan-kawannya.

Perang-Perang || Telefon Tin


Galah Panjang

Galah panjang merupakan permainan tradisional yang tidak dimainkan secara individu, tetapi secara berkumpulan, satu kumpulan penyerang dan satu lagi kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja. Setiap pemain hendaklah melepasi semua garisan penghalang bermula di garisan permulaan hinggalah ke garisan belakang sekali dan kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh pasukan bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oelh peserta bertahan maka pemain itu dikira mati. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak, juga diminati oleh golongan dewasa kerana permainan ini membawa kenangan nostalgia yang menggembirakan.


Konda-Kondi

Konda-kondi adalah satu permainan tradisional kegemaran kanak-kanak Malaysia. Pada kebiasaannya, permainan ini akan terdiri dari 2 pasukan yang bertanding untuk mendapat markah yang tertinggi. Bilangan pemain terdiri dari 4 hingga 10 orang. Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil, masing-masing berukuran 15cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini adalah berbentuk silinder dan mempunyai ukuran diameter sepanjang 2cm. Lubang sebesar 2 inci diameter dikorek sedalam 2 inci pada permukaan tanah. Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang. Ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang. Mata akan diberikan berdasarkan jarak kayu pendek dari lubang.

Galah Panjang || Konda-Kondi


Sampul Surat Hari Pertama
Guli


Lembaran Mini
Main Bayang-Bayang


Folder


Maximum Card


Read more...
Nov 17, 2010

Koleksi 1Malaysia

0 comments

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Malaysia telah memulakan perjalanannya ke arah Wawasan 2020 dan kita mengorak langkah ke abad yang ke-21. Kita telah menyaksikan transformasi hebat Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif sepanjang lima puluh dua tahun ini dan empat puluh lapan tahun seterusnya kita akan meraikan ulangtahun yang keseratus tahun.

1Malaysia merupakan satu konsep berani yang mengingatkan kita tentang budaya, tradisi dan kepelbagaian kita serta bagaimana ianya menyatukan kita. 1Malaysia adalah konsep penyayang yang tidak mengambilkira perbezaan malah membolehkan kita melihat kepada persamaan nilai-nilai. 1Malaysia ialah satu rancangan murni yang mengambil berat hak-hak kepentingan kita dan menjamin hak-hak kita didokong oleh perlembagaan.

Konsep ini diasaskan oleh prinsip "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan" - sebuah laluan baru untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama - untuk berfikir dan bertindak sebagai satu Bangsa Malaysia, satu Malaysia yang beratu, maju dan makmur.

Warisan Budaya Membentuk Era Baru Malaysia

Bagaimanakah seseorang mendefinisikan budaya Malaysia khususnya bila kita mempunyai budaya majmuk? Itulah yang membuatkan Malaysia sebuah wadah tumpuan pelbagai budaya, meskipun berbeza namun mudah diterima oleh bangsa lain.

Jika budaya membina hubungan kesefahaman di antara rakyat Malaysia, budaya pemikiran kreatif telahpun merentasi sempadan pemikiran. Hari ini, satelit-satelit Malaysia mengelilingi orbit. Kereta Malaysia dilihat di mana-mana, walaupun di negara asing.

Senarainya tiada penghujung dan begitu juga dengan kuasa besar inovasi yang melebarkan pemikiran, memberikan penyelesaian dan membuka sempadan baru untuk rakyat Malaysia yang berani berfikir besar dengan penuh kreatif.

Masa depan Malaysia adalah cerah dalam menempuh laluannya melepasi abad ke-21. Walaupun dalam sesuatu yang kelihatan biasa seperti budaya, kreativiti boleh membantu membina jambatan inovasi untuk rakyat Malaysia melangkah ke masa hadapan.


Kisah Malaysia di dalam Setem
Pameran ini menjelajah peralihan Malaysia - Warisan Budaya Membentuk Era Baru Malaysia - sebuah perjalanan filateli. Setem-setem ini menceritakan sebuah babak sebuah negara penuh budaya dan tradisi kini dalam perjalanan menjadi sebuah negara maju. Ibarat sekeping gambar yang menceritakan seribu kisah, setem-setem ini memaparkan detik-detik istimewa dalam pencapaian teknologi Malaysia ke arah Wawasan 2020.

Teknologi 'WAU'

Wau adalah satu aspek kebudayaan pelbagai budaya Malaysia yang menyatukan rakyat Malaysia menjadi tenaga padu yang bersedia menghadapi cabaran-cabaran masakini. Wau melambangkan usaha Malaysia menawan angkasa lepas dan usaha inovatifnya menjangkau peringkat pencapaian dan kejayaan yang lebih tinggi.

Nyiru Berisi Kekayaan Bio

Biotek memberikan harapan baru dalam pelbagai sektor dari pertanian ke perubatan dan teknologi. Hasilnya ialah perolehan yang lebih tinggi, penemuan mutakhir dan penyelesaian inovatif. Kini, Malaysia giat dalam penyelidikan Biotek dengan dedikasi yang sama seperti yang dituntut dalam kerja menganyam nyiru dan bakul.


Tenunan Songket

Mencipta Keajaiban Multimedia Tenunan songket adalah sebahagian dari budaya Malaysia dengan warisan beratus tahun lamanya. Menenun menuntut kecekapan, ketepatan dan kesabaran tinggi dalam menghasilkan karya yang begitu indah. Begitu juga bidang multimedia yang berkembang menjadi industri berkemajuan tinggi seperti Koridor Raya Multimedia.

Merekacipta Latar Langit Malaysia

Kraf kayu merupakan kraftangan unggul yang diamalkan di Malaysia sejak turun-temurun. Pengukir tersohor menzahirkan kemahirannya dalam membentuk dan mencita mahakarya yang indah. Berilhamkan teknik kraf kayu zaman silam, penggiat seni bangunan kini mengukir latar langit Malaysia yang serba baru.


BUTIRAN TEKNIK

Tarikh Keluaran : 10.11.10
Denominasi : 30 sen x 2 reka bentuk, 50 sen x 2 reka bentuk
Saiz Setem : 30mm x 50mm
Tebukan : 14
Kandungan Helaian : 20 setem
Kertas : Tera Air SPM, Bersalut Fosfor
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak : Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk Setem : Limkokwing University of Creative Technology
Sampul Surat hari Pertama : 30 sen
Read more...
Oct 30, 2010

Warisan Negeri Pahang Darul Makmur

2 comments



Biografi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, putera ketiga Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Raja Hajjah Fatimah binti Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal Pekan pada 24 Oktober 1930.

Baginda menerima pendidikan di Sekolah Melayu Pekan, Sekolah Clifford Kuala Lipis dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Baginda juga mempelajari bahasa Jepun semasa zaman pendudukan Jepun ke Tanah Melayu.

Pada 25 Mei 1944, Baginda telah dimasyhurkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Pahang. Pada tahun 1948, Baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam di Worchester College, Oxford. Baginda juga mengikuti kursus Kerajaan Tempatan di University College Exeter, Devon. Semasa mengikuti kursus ini Baginda menjalani latihan amali di Urban District Council di Sidmouth, Devon selama tiga tahun.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia SultanHaji Ahmad Shah berkahwin dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Hajjah Afzan binti Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad pada 22 April 1954 dan dikurniakan dengan dua putera dan lima puteri. Selepas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Hajjah Afzan pada 29 Jun 1988, Baginda berkahwin dengan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom pada 14 Mac 1991 dan dikurniakan seorang putera.

Baginda dimasyhurkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Raja Pemerintah bagi Negeri Pahang Darul Makmur serta jajahan takluknya pada 7 Mei 1974. Istiadat Pertabalan Baginda selaku Sultan Pahang yang Kelima telah disempurnakan pada 8 Mei 1975.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah telah bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur selama 36 tahun dan di bawah pemerintahan dan kepimpinan Baginda, rakyat dari setiap lapisan masyarakat kini dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan yang pesat. Baginda, selaku payung Negeri sangat prihatin dan menitikberatkan hal pembangunan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat Baginda.

Ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan tujuh strategi pengukuhan ekonomi negeri iaitu pengukuhan jaringan dan kemudahsampaian, pembesaran kapasiti utiliti, pemantapan modal insan, peningkatan nilai tambah sektor produktif, pelebaran jaringan sosial, peningkatan kualiti hidup dan pemantapan pelaburan swasta.

Majlis Raja-Raja Melayu telah memilih Baginda Sultan Ahmad Shah sebagai Yang Dipertuan Agong Ketujuh dan Baginda melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia dari 25 April 1979 sehingga 25 April 1985.

Di samping menumpukan pemikiran dalam tugas-tugas kepimpinan, baginda turut memainkan peranan aktif dalam dunia pendidikan negara. Baginda diberikan penghormatan menjadi Ketua Lembaga bagi Universiti Islam Antarabangsa pada bulan Februari 1983 dan jawatan tersebut disandang sehingga kini.

Baginda Sultan Haji Ahmad Shah amat menggemari aktiviti luar terutamanya sukan dan Baginda terkenal sebagai pemain polo yang hebat di dalam dan di luar negara semasa zaman muda Baginda. Selain itu, baginda turut melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang lain seperti bola sepak, tenis, hoki dan golf.

Pada 1982, Baginda Sultan Haji Ahmad Shah telah dianugerahkan Anugerah Bola Sepak Olimpik Antarabangsa. Baginda satu-satunya rakyat Malaysia yang dianugerahkan anugerah berprestij itu. Baginda merupakan seorang pemimpin sukan yang berkaliber dan telah memegang jawatan sebagai residen Persatuan Bola Sepak Malaysia sejak tahun 1984 sehingga kini dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia sehingga tahun 2002.

Di bawah pimpinan Baginda, Malaysia berjaya memperolehi Piala Merdeka selepas 9 tahun dengan mengalahkan Korea Selatan 3-1 dalam masa tambahan pada 17 Februari 1993.

Jelas sekali bahawa Baginda adalah Raja Pemerintah serba boleh dalam semua bidang kehidupan masyarakat. Selain daripada terkenal sebagai Raja yang amat prihatin tentang kebajikan rakyat termasuk rakyat yang ditimpa musibah.

Daulat Tuanku.



Setem 60 sen

Setem bernilai 60 sen ini memaparkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah bersama Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom. Setem ini melambangkan keutuhan KDYMM Sultan Pahang yang telah memerintah Negeri Pahang Darul Makmur selama 36 tahun.

Turut dipaparkan di dalam latar belakang setem ini adalah alat-alat kebesaran Diraja Pahang seperti Payung, Panji dan Mahkota, yang digunakan semasa istiadat.


Setem 80 sen

Setem bernilai 80 sen memaparkan KDYMM Sultan Pahang berpakaian lengkap selaku Kolonel Yang DiPertua, tentera Udara Diraja Malaysia. Tenun Pahang iaitu tenunan sutera yang istimewa dari Negeri Pahang dan keris, yang merupakan sebahagian dari warisan Negeri Pahang dipaparkan di latar belakang setem bersama Gamelan Pahang; iaitu alat muzik yang berusia melebihi 200 tahun yang dimainkan di majlis-majlis.



Setem RM1

Setem bernilai RM1 memaparkan KDYMM Sultan Pahang berpakaian rasmi lengkap dengan Darjah-Darjah Kebesaran. Cop Mohor Diraja dan Singgahsana Takhta yang digunakan semasa upacara rasmi sahaja turut dipaparkan di latar belakang setem.



BUTIRAN TEKNIK

Tarikh Keluaran : 24.10.10
Denominasi : 60 sen, 80 sen, RM1
Saiz Setem : 40mm x 50mm
Tebukan : 14
Kandungan Helaian : 20 setem
Kertas : Tera Air SPM, Bersalut Fosfor
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak : Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk Setem : Hazel Design Sdn. Bhd.
Sampul Surat hari Pertama : 30 sen
Read more...
Oct 17, 2010

Gaya Hidup Orang Asli

0 comments

Gaya Hidup Orang Asli di Malaysia

Masyarakat orang asli mewakili satu komponen yang kecil tetapi penting di kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai bangsa dan agama. Masyarakat ini tersebar secara rawak sebagai komuniti yang kecil dan sering kali terpencil di Semenanjung Malaysia manakala di negeri-negeri Sabah dan Sarawak di Borneo mereka membentuk 50-60 peratus daripada jumlah penduduk.

Masyarakat orang asli terdiri daripada hampir seratus kumpulan etnik yang berlainan. Ini termasuklah kira-kira dua puluh suku kaum di Semenanjung Malaysia yang telah dikelompokkan sebagai Negrito, Senoi dan Melayu Asli dari segi pentadbiran. Lebih menakjubkan lagi, negeri-negeri Sabah dan Sarawak mempunyai di antara tiga puluh hingga empat puluh suku kaum yang bertutur di dalam pelbagai bahasa dan dialek.
Read more...
Oct 16, 2010

Pejabat Pos Lama

0 comments
SET 1


SET 2



Pejabat Pos telah mula diwujudkan secara rasminya di England pada tahun 1660. pejabat Pos kemudiannya telah diperkembangkan ke seluruh Empayar British dan negara-negara lain termasuk Malaysia. Pada awal tahun 1800, perkhidmatan pos mula diperkenalkan di Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura), dan kemudian berkembang ke seluruh Malaysia menjelang awal abad ke-20.

Pejabat Pos merupakan kemudahan untuk tujuan penghantaran, penerimaan, isihan dan pengendalian mel. Kesemua item yang diposkan dipindahkan daripada pejabat pos di kawasan tersebut ke pusat agihan yang dikenali sebagai stesen isihan dan kemudian dihantar kepada penerima. Setiap pejabat pos dipertanggungjawabkan kepada seorang Ketua Pos.


Read more...

Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings