Dec 22, 2010

Abadikan Gambar Sendiri Pada Setem

1 comments


KUALA LUMPUR: Peminat setem berpeluang mengabadikan potret sendiri dalam setem apabila mengunjungi Pameran Setem 1 Malaysia Satu Dunia di Muzium Negara bermula 15 Disember lalu hingga 15 Mac tahun depan.

Setem akan dinamakan ‘Setemku’ itu memerlukan pengunjung pameran mengambil gambar bersama koleksi kegemaran mereka dan mendapatnya serta-merta kerana petugas akan membuat setem itu di pameran berkenaan.

Setem itu boleh dibeli dengan bayaran RM19 untuk setiap 10 setem bernilai 60 sen dan 20 setem 30 sen.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Ibrahim Ismail, berkata peluang sekali seumur hidup itu perlu diambil kerana ia usaha sulung Pos Malaysia dan JMM.

“Inisiatif itu dianggap unik dan menyeronokkan sebab ia tidak pernah dilakukan mana-mana pihak serta bukan mudah untuk kita memiliki peluang sedemikian.

“Setem itu boleh disimpan sebagai koleksi peribadi atau dijadikan setem kerana nilainya sah. Mereka cuma perlu melekatkan setem itu atas sampul surat atau poskad dan menghantarnya kepada kenalan,” katanya pada sidang media khas mengenai pameran berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Pos Niaga, Datuk Mearia Hamzah; Timbalan Ketua Pengarah JMM, Wan Jamaluddin Wan Yusof; Penolong Pengarah Jabatan Pos Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Rafidah Ismail dan Pengarah Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, Datuk Anuar Bashah Mohd Sohore.

Pada pameran itu, pengunjung berkesempatan melihat lebih 50,000 jenis setem dalam dan luar negara.

Antara setem menjadi tarikan ramai adalah setem pertama di dunia iaitu ‘Penny Black’ yang dikeluarkan di Britain pada 1840 dengan gambar Permaisuri Victoria ketika berusia 15 tahun.

Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik jika menyertai aktiviti atau program sepanjang pameran berlangsung.


**Sumber dari Harian Metro
Read more...
Dec 21, 2010

Minggu Saham Amanah

2 comments

PNB umum agihan pendapatan ASB

KUALA LUMPUR 21 Dis. - PNB umum agihan pendapatan ASB sebanyak 7.50 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010. - Utusan

*****

Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang Tun), Perdana Menteri Malaysia ke-4 ketika melancarkan 'Minggu Pelaburan Bersama PNB', anjuran institusi pelaburan utama di Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB), pada tahun lepas, telah mengisytiharkan iaitu mulai 20 April setiap tahun ia akan dikenali sebagai hari pertama 'Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM)'.

Ini adalah kerana 20 April juga merupakan tarikh pelancaran Skim Amanah Saham Nasional (ASN), saham amanah pertama yang diuruskan oleh PNB. ASN telah dilancarkan pada tahun 1981 dan merupakan titik mulanya penyertaan rakyat Malaysia, terutamanya Bumiputera dalam industri saham amanah.

Dengan objektif utamanya untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai faedah dan kaedah melabur dalam saham-saham amanah, MSAM dijangka akan meletakkan negara ini di peta dunia sebagai pemangkin industri saham amanah.

Dengan tema 'Saham Amanah - Pilihan Pelabur Bijak', MSAM yang buat julung kalinya diadakan pada tahun ini akan berlangsung selama lima hari, bermula dari 20 April - 24 April 2000 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. MSAM akan dipenuhi dengan berbagai aktiviti menarik yang berkonsepkan pameran dan pendidikan. Di antara aktiviti-aktiviti yang telah dirancang ialah Pertandingan Debat Antara Universiti, Seminar Antarabangsa, Permainan dan Kuiz Pelaburan, Ekspo/Pameran, jualan barangan oleh syarikat-syarikat PNB yang terpilih dan penyertaan pengurus-pengurus saham amanah, Sudut Produk, Pertandingan Menulis Esei Amanah untuk Media Massa dan program 'Kenali PNB'.

Kejayaan yang dicapai oleh PNB dengan mengambil pendekatan yang berbeza dalam pengurusan saham amanah, adalah bukti terbaik bagaimana Malaysia boleh cemerlang dalam industri saham amanah. Sehingga kini, PNB telah berjaya menggemblengkan modal berjumlah RM30 bilion daripada 7 juta pelabur yang kebanyakannya Bumiputera. Selain ASN, PNB juga merupakan pengurus Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Wawasan 2020  (ASW 2020), Amanah Harta Tanah PNB (AHP) dan Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2).

MSAM adalah usaha PNB untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap industri saham amanah dan melalui penyertaan bersama 37 pengurus-pengurus saham amanah tempatan yang juga merupakan ahli Persekutuan Pengurus Saham Amanah Malaysia (FMUTM) serta syarikat-syarikat pelaburan PNB yang terpilih. MSAM dijangka mampu menarik lebih 60,000 orang pelawat melalui aktiviti-aktiviti yang bakal diadakan.

Adalah menjadi harapan PNB agar industri saham amanah tempatan terus berkembang dan menjadi pemangkin ke arah pembangunan ekonomi yang lebih mapan di masa hadapan dalam memenuhi Wawasan 2020. Bagi memeriahkan MSAM, orang ramai adalah dijemput untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sepanjang minggu tersebut.




BUTIRAN TEKNIK



Tarikh Keluaran: 20.4.2000
Denominasi: 30 sen, 50 sen, RM1
Saiz Setem: 28mm x 38mm
Tebukan: 14
Kertas: Tera Air SPM, Bersalut Fosfor
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak: Security Printers Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk Setem : Orient Communications Sdn. Bhd.
Sampul Surat Hari Pertama : 20 sen

Read more...
Dec 15, 2010

Kejohanan Bola Sepak Remaja Dunia Ke IX

0 comments

Entri kali ni adalah sempena Malaysia lawan Vietnam (AFF Suzuki Cup 2010) malam nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil. Semoga kita beroleh kemenangan!


Pada tahun 1993, Malaysia telah diberikan penghormatan untuk menganjurkan Kejohanan Remaja Dunia ke IX - Piala FIFA/Coca-Cola 1997 (bawah 20 tahun) oleh badan induk bola sepak dunia, Fẽdẽration Internationale de Football Association (FIFA). Berasaskan daripada buah fikiran dan inisiatif Dato' Dr. Joao Havelange, Presiden FIFA dan dengan bantuan daripada The Coca-Cola Company, kejohanan ini mula diperkenalkan pada tahun 1977 di Tunisia dengan objektif utama untuk menggalakkan perlawanan persahabatan bertaraf dunia di kalangan remaja. Semenjak daripada itu, ia telah dijalankan setiap dua tahun sekali. Kini, sebagai kejohanan bola sepak yang terbesar dan terpenting di dalam kalendar FIFA selepas Piala Dunia, Kejohanan Remaja Dunia Piala FIFA/Coca-Cola MALAYSIA 1997 ini akan mengumpulkan seramai lebih daripada 2,000 pemain dan pegawai-pegawai dari seluruh dunia bermula daripada 16 Jun 1997 sehingga 5 Julai 1997.

Bermula dengan hanya 16 pasukan yang terpilih untuk bertanding dari seluruh dunia semenjak ia mula diperkenalkan 20 tahun yang lalu, buat pertama kalinya pada tahun ini (1997) Malaysia telah diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah kepada 24 buah pasukan yang bertanding. Antara negara-negara yang telah terpilih ialah dari Australia, Belgium, Brazil, Canada, China, Costa Rica, England, Perancis, Ghana, Hungary, Republik Ireland, Ivory Coast, Jepun, Malaysia, Mexico, Morocco, Paraguay, UAE, Uruguay, Afrika Selatan, Republik Korea, Sepanyol, Amerika Syarikat serta juara bertahan Argentina.

Enam tempat perlawanan telah pun dipilih oleh FIFA iaitu di Shah Alam, Kuching, Alor Setar, Kuantan, Kangar dan Johor Bahru. Sebanyak 52 perlawanan telah dijadualkan berlangsung sepanjang 20 hari kejohanan. Bola sepak merupakan sukan yang paling popular di Malaysia, peminat-peminat serta penyokong-penyokong dari seluruh dunia akan berpeluang untuk menyaksikan perlawanan di antara negara-negara yang bertanding menerusi siaran secara langsung di sepanjang kejohanan tersebut.
30 sen 
TUAH, anak harimau merupakan maskot rasmi Kejohanan Bola Sepak Remaja Dunia ke IX kelihatan mengangkat ibu jari secara diplomasi untuk pertandingan yang disukai ramai.

50 sen
Sebahagian daripada aksi pertandingan bola sepak yang berlatar belakangkan bendera Malaysia menunjukkan Malaysia sebagai tempat Kejohanan Bola Sepak Remaja Dunia ke IX.

RM 1
Reka bentuk ini menunjukkan tempat-tempat yang berlainan bagi Kejohanan Bola Sepak Remaja Dunia ke IX di Malaysia yang mana Kuala Lumpur merupakan ibu negara.



BUTIRAN TEKNIK
 
Tarikh Keluaran: 16.6.1997
Denominasi: 30 sen, 50 sen, RM1
Saiz Setem (30 sen & 50 sen)  : 30mm x 39.75mm
Saiz Setem (RM1): 30mm x 40mm
Tebukan (30 sen & 50 sen): 13.25
Tebukan (RM1): 13
Kertas (30 sen & 50 sen): Tidak Tera Air, Bersalut Fosfor
Kertas (RM1): Tera Air SPM, Bersalut Fosfor
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak (30 sen & 50 sen): Harrison & Sons Ltd. England
Pencetak (RM1): Security Printers (M) Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk Setem : The Sharper Image Sdn. Bhd.
Sampul Surat Hari Pertama : 20 sen
Read more...
Dec 13, 2010

Permainan Tradisional Masa Lapang Bersama Upin & Ipin Dan Kawan-Kawan

0 comments
Aku minat betul dengan Upin & Ipin ni. Comey sesangat. Melalui kartun diorang budak-budak sekarang boleh tau permainan tradisional yang makin dilupakan. Jadi dengan itu, hari ni Pos Malaysia mengeluarkan setem Permainan Tradisional Masa Lapang Bersama Upin & Ipin Dan Kawan-Kawan. So, apa tunggu lagi? Dapatkannya di Pejabat Pos berhampiran anda.

******************


Malaysia memang kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, konda-kondi, galah panjang dan lain-lain. Permainan tradisional bukan sahaja seronok dimainkan beramai-ramai, malahan memupuk semangat kerjasama dan setiakawan, meningkatkan daya kreativiti dan secara tidak langsung mengeratkan silaturrahim. Disebabkan perubahan zaman dan teknologi, permainan tradisional semakin dilupakan. Kini Upin & Ipin dan kawan-kawan tampil dengan setem permainan tradisional dengan harapan dapat memperkenalkan permainan ini kepada generasi baru dan mengimbau kembali zaman kanak-kanak bagi golongan dewasa.


Batu Seremban

Batu Seremban merupakan permainan tradisional yang sering dimainkan oleh kanak-kanak perempuan di serambi, di dalam rumah atau di mana-mana di kawasan rata yang bersih untuk dijadikan tempat duduk dan bermain. Lima biji batu atau objek kecil yang dikenali sebagai buah diperlukan untuk bermain permainan ini. Selain daripada jumlah kebiasaan iaitu 5 biji batu/buah, permainan ini boleh dimainkan dengan 7 atau 9 biji batu/buah. Pemain perlu duduk di atas dan menyelerakkan buah di atas lantai. Kemudian, pemain perlu melambungkan satu buah ke udara dan menyambutnya semula sambil mengambil satu batu yang diselerakkan di atas lantai dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Permainan ini bermula dengan peringkat pertama yang mudah yang dikenali sebagai batu satu hinggalah ke batu lima/tujuh/sembilan dan permainan ini akan menjadi semakin mencabar. Orang pertama yang menyempurnakan kesemua peringkat dikira sebagai pemenang.

Gambar pada setem: Mei Mei dan Devi asyik bermain batu seremban di rumah opah. Mei Mei merupakan seorang budak perempuan comel yang baik hati dan rajin. Di sebalik rupa yang comel, Mei Mei sebenarnya seorang yang lantang bersuara. Inilah yang menyebabkan Mei Mei nampak garang dan suka mengarah kawan-kawannya. Manakala Devi merupakan rakan baik Mei Mei yang murah dengan senyuman dan suka bermain masak-masak. Andai Mei Mei lantang bersuara, perwatakan Devi pula bertentangan dengan Mei Mei, dia lebih bersikap lemah lembut apabila bercakap.


Congkak

Satu lagi permainan yang kerap dimainkan oleh kaum perempuan ialah congkak. Congkak sangat digemari kerana permainannya mudah dan menyeronokkan. Guli/biji saga/anak batu yang dijadikan sebagai 'buah' akan diisi dalam setiap 'kampung' mengikut jumlah 'kampung' yang ada. Objektif utama permainan ini adalah untuk mengumpul buah sebanyak mungkin ke dalam 'ibu' sendiri. Pemain akan duduk bertentangan sesama sendiri dan memasukkannya satu per satu bermula dari kanan ke kiri hinggalah ke kampung pihak lawan. Permainan ini berjalan sehinggalah mereka menghabiskan buah tersebut yang dikumpulkan di 'ibu' masing-masing. Pemain yang berjaya mengumpul buah terbanyak dikira pemenang.

Gambar pada setem: Opah dan Kak Ros sedang bermain congkak. Opah merupakan gelaran nenek yang dipanggil Upin & Ipin dan Kak Ros. Opah yang lemah lembut dan berhati mulia ini sering memanjakan kehendak Upin & Ipin. Opah juga seorang yang suka memberikan nasihat yang penuh ilmiah dan bermakna. Manakala Kak Ros adalah kakak kepada Upin & Ipin memang terkenal dengan sifat garang yang menakutkan. Kak Ros yang bersikap tegas terhadap adik-adiknya yang nakal ini sebenarnya seorang yang lembut dan penyayang serta suka bergurau dengan adik-adiknya.

Batu Seremban || Congkak

Perang-Perang

Main perang-perang merupakan permainan yang digemari olah kanak-kanak lelaki. Mereka biasanya menghasilkan senjata sendiri seperti senapang kayu dan lastik menggunakan buah ceri atau terung belanda sebagai peluru. Ada juga menggunakan kotak terpakai untuk dijadikan kubu. Dua pasukan diperlukan untuk permainan ini, makin ramai makin seronok. Setiap pasukan akan mengatur strategi untuk menyerang pihak lawan. Siapa yang terkena tembakan peluru dikira 'mati'. Pasukan yang mampu bertahan dianggap pemenang.

Gambar pada setem: Upin, Ipin dan Ehsan sedang bermain perang-perang. Ehsan merupakan ketua kelas Upin &Ipin yang sering menjadi pengadil dalam sesebuah permainan dengan mengenakan tali leher kupu-kupu. Ehsan yang kuat makan ini juga merupakan anak manja dalam keluarganya. Oleh itu dia sering mendapat pelbagai mainan baru dan tidak meminjamkannya kepada orang lain.


Telefon Tin

Telefon tin merupakan permainan tradisional yang semakin dilupakan. Dengan menggunakan dua tin kosong dan dawai yang disambungkan pada setiap tapak tin, telefon tin telah siap dibuat. Ada juga yang menggunakan cawan kertas yang disambungkan dengan menggunakan tali rafia. Setiap pemain akan memegang tin dan menjarakkan diri masing-masing bagi menegangkan dawai. Pemanggil akan bercakap pada tin manakala penerima akan meletakkan tin yang lagi satu pada telinganya. Suara pemanggil akan kedengaran di tin yang satu lagi. Begitulah cara telefon tin dimainkan. Permainan ini adalah cara yang menarik untuk menghantar mesej dan maklumat rahsia kepada kawan-kawan.

Gambar pada setem: Fizi dan Mail sedang bermain telefon tin. Fizi ialah kawan baik Ehsan yang sentiasa ada di mana sahaja dia berada. Dia suka bergurau dengan memanggil Ehsan "Intan-Payung". Fizi yang suka mengusik dan mengajuk kata-kata orang ini sebenarnya seorang yang kuat menangis. Manakala Mail ialah seorang budak lelaki yang suka berniaga dan menjual apa sahaja dengan laungan harga "Dua seringgit!". Berbanding dengan kawan-kawan yang lain, Mail kebiasaannya lebih bersifat bersahaja dan suka mengusik kawan-kawannya.

Perang-Perang || Telefon Tin


Galah Panjang

Galah panjang merupakan permainan tradisional yang tidak dimainkan secara individu, tetapi secara berkumpulan, satu kumpulan penyerang dan satu lagi kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja. Setiap pemain hendaklah melepasi semua garisan penghalang bermula di garisan permulaan hinggalah ke garisan belakang sekali dan kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh pasukan bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oelh peserta bertahan maka pemain itu dikira mati. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak, juga diminati oleh golongan dewasa kerana permainan ini membawa kenangan nostalgia yang menggembirakan.


Konda-Kondi

Konda-kondi adalah satu permainan tradisional kegemaran kanak-kanak Malaysia. Pada kebiasaannya, permainan ini akan terdiri dari 2 pasukan yang bertanding untuk mendapat markah yang tertinggi. Bilangan pemain terdiri dari 4 hingga 10 orang. Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil, masing-masing berukuran 15cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini adalah berbentuk silinder dan mempunyai ukuran diameter sepanjang 2cm. Lubang sebesar 2 inci diameter dikorek sedalam 2 inci pada permukaan tanah. Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang. Ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang. Mata akan diberikan berdasarkan jarak kayu pendek dari lubang.

Galah Panjang || Konda-Kondi


Sampul Surat Hari Pertama
Guli


Lembaran Mini
Main Bayang-Bayang


Folder


Maximum Card


Read more...
Dec 12, 2010

Jom!! Ke Minggu Setem 2010

4 comments
Kepada peminat-peminat & pengumpul-pengumpul setem, Pos Malaysia akan mengadakan Minggu Setem 2010 pada 13 - 19 Disember 2010 di Berjaya Times Square, KL. Pelbagai aktiviti menarik dan pertandingan boleh disertai. Maklumat lanjut seperti gambar di bawah. Klik gambar untuk paparan lebih besar.


p/s: Jangan lupa Sampul Surat Hari Pertama keluaran Permainan Tradisional Masa Lapang Bersama Upin & Ipin Dan Kawan-Kawan esok, 13 Disember 2010.
Read more...

Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
There was an error in this gadget
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings