Oct 17, 2010

Gaya Hidup Orang Asli

0 comments

Gaya Hidup Orang Asli di Malaysia

Masyarakat orang asli mewakili satu komponen yang kecil tetapi penting di kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai bangsa dan agama. Masyarakat ini tersebar secara rawak sebagai komuniti yang kecil dan sering kali terpencil di Semenanjung Malaysia manakala di negeri-negeri Sabah dan Sarawak di Borneo mereka membentuk 50-60 peratus daripada jumlah penduduk.

Masyarakat orang asli terdiri daripada hampir seratus kumpulan etnik yang berlainan. Ini termasuklah kira-kira dua puluh suku kaum di Semenanjung Malaysia yang telah dikelompokkan sebagai Negrito, Senoi dan Melayu Asli dari segi pentadbiran. Lebih menakjubkan lagi, negeri-negeri Sabah dan Sarawak mempunyai di antara tiga puluh hingga empat puluh suku kaum yang bertutur di dalam pelbagai bahasa dan dialek.
Jabatan Hal Ehwal Orang Asli atau JHEOA telah diamanahkan untuk memelihara dan mentadbir masyarakat orang asli. Mandat yang telah diberikan termasukklah untuk membasmi kemiskinan, memperbaiki taraf kesihatan, mempromosikan pendidikan dan mempertingkatkan mata pencarian serta di mana mungkin dan diingini, memupuk integrasi masyarakat orang asli bersama gagasan masyarakat umum tanah air.


Kaum Proto Melayu

Setem 60 sen ini melambangkan dua orang wanita dari suku kaum Proto Melayu yang sedang memainkan alat muzik tradisional yang dikenali sebagai 'Ketuk Buluh' iaitu sebatang buluh dengan lubang beralur yang dahulunya digunakan untuk menghalau burung semasa musim menuai. Hari ini, ia digunakan sebagai alat muzik untuk tarian kemasyarakatan seperti perkahwinan, menyambut ketibaan tetamu dan lain-lain lagi.

Suku kaum ini juga dikenali sebagai Melayu Asli kerana mereka menyerupai orang Melayu tetapi telah menduduki Semenanjung Malaysia lebih seribu tahun lampau. Masyarakat ini terus hidup di dalam hutan hujan Khatulistiwa yang berkurun usianya,kerana ia menjadi sumber rezeki untuk keperluan harian seperti makanan, tempat berlindung dan pakaian.


Kaum Negrito

Gambar seorang lelaki dari kaum Negrito yang sedang memburu menggunakan sumpit menghiasi setem 70 sen. Secara senyap dan tepat, sumpit yang berada di tangan pemburu yang mahir ini akan meniupkan damak beracun untuk memburu unggas, monyet dan haiwan kecil lain dari atas pokok. Kaum Negrito yang sebahagian besarnya terdiri daripada pemburu dan pengumpul ini bergantung pada khazanah alam yang terdapat di hutan belantara Semenanjung Malaysia sebagai sumber makanan dan tempat berteduh.

Asal usul kaum Negrito masih menjadi tajuk perbahasan. Sekali imbas, mereka mempunyai banyak persamaan dengan orang asli di Australia serta kaum Pygmy di Afrika iaitu dari segi ketinggian dan perawakan. Walaupun kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk memelihara gaya hidup dan budaya mereka, ia semakin terancam ekoran daripada proses modenisasi serta pembangunan yang mencerobohi hutan, iaitu tempat mereka berlindung.


Kaum Senoi

Setem 80 sen ini mempamerkan gambar seorang dari kaum Senoi sedang mengukir kayu. Kaum Senoi yang terkenal dengan kemahiran mengukir kayu ini lazimnya mengukir bentuk berhala dan patung yang digunakan dalamupacara keagamaan serta perhiasan. Bentuk 'harimau berantai' iaitu imej harimau jadian yang memegang rantai di mulutnya merupakan ukiran yang paling digemari.

Kaum Senoi, atau 'masyarakat yang mementingkan mimpi' dianggap sebagai kaum orang asli paling romantis di Malaysia. Mereka terdiri daripada pemburu dan pengumpul yang menjadikan unsur mimpi sebagai satu ciri penting di dalam kehidupan mereka, iaitu sebagai petunjuk kepada kehidupan, pedoman bagi masa hadapan dan juga untuk perkembangan jasmanii dan rohani. Istilah Senoi membawa maksud 'manusia' atau 'orang' dan kaum ini lazimnya menduduki kawasan Cameron Highlands di Pahang.


BUTIRAN TEKNIKAL

Tarikh Keluaran : 27.09.10
Denominasi : 60 sen, 70 sen, 80 sen
Saiz Setem : 35mm x 35mm
Tebukan : 13
Kertas : Tera Air SPM, Bersalut Fosfor
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak : Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk Setem : Penumbra Communications Sdn. Bhd.
Sampul Surat hari Pertama : 30 sen

Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings