Oct 30, 2010

Warisan Negeri Pahang Darul Makmur

2 comments



Biografi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, putera ketiga Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Raja Hajjah Fatimah binti Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah telah diputerakan di Istana Mangga Tunggal Pekan pada 24 Oktober 1930.

Baginda menerima pendidikan di Sekolah Melayu Pekan, Sekolah Clifford Kuala Lipis dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Baginda juga mempelajari bahasa Jepun semasa zaman pendudukan Jepun ke Tanah Melayu.

Pada 25 Mei 1944, Baginda telah dimasyhurkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Pahang. Pada tahun 1948, Baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam di Worchester College, Oxford. Baginda juga mengikuti kursus Kerajaan Tempatan di University College Exeter, Devon. Semasa mengikuti kursus ini Baginda menjalani latihan amali di Urban District Council di Sidmouth, Devon selama tiga tahun.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia SultanHaji Ahmad Shah berkahwin dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Hajjah Afzan binti Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad pada 22 April 1954 dan dikurniakan dengan dua putera dan lima puteri. Selepas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tengku Hajjah Afzan pada 29 Jun 1988, Baginda berkahwin dengan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom pada 14 Mac 1991 dan dikurniakan seorang putera.

Baginda dimasyhurkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Raja Pemerintah bagi Negeri Pahang Darul Makmur serta jajahan takluknya pada 7 Mei 1974. Istiadat Pertabalan Baginda selaku Sultan Pahang yang Kelima telah disempurnakan pada 8 Mei 1975.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah telah bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur selama 36 tahun dan di bawah pemerintahan dan kepimpinan Baginda, rakyat dari setiap lapisan masyarakat kini dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan yang pesat. Baginda, selaku payung Negeri sangat prihatin dan menitikberatkan hal pembangunan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat Baginda.

Ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan tujuh strategi pengukuhan ekonomi negeri iaitu pengukuhan jaringan dan kemudahsampaian, pembesaran kapasiti utiliti, pemantapan modal insan, peningkatan nilai tambah sektor produktif, pelebaran jaringan sosial, peningkatan kualiti hidup dan pemantapan pelaburan swasta.

Majlis Raja-Raja Melayu telah memilih Baginda Sultan Ahmad Shah sebagai Yang Dipertuan Agong Ketujuh dan Baginda melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia dari 25 April 1979 sehingga 25 April 1985.

Di samping menumpukan pemikiran dalam tugas-tugas kepimpinan, baginda turut memainkan peranan aktif dalam dunia pendidikan negara. Baginda diberikan penghormatan menjadi Ketua Lembaga bagi Universiti Islam Antarabangsa pada bulan Februari 1983 dan jawatan tersebut disandang sehingga kini.

Baginda Sultan Haji Ahmad Shah amat menggemari aktiviti luar terutamanya sukan dan Baginda terkenal sebagai pemain polo yang hebat di dalam dan di luar negara semasa zaman muda Baginda. Selain itu, baginda turut melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang lain seperti bola sepak, tenis, hoki dan golf.

Pada 1982, Baginda Sultan Haji Ahmad Shah telah dianugerahkan Anugerah Bola Sepak Olimpik Antarabangsa. Baginda satu-satunya rakyat Malaysia yang dianugerahkan anugerah berprestij itu. Baginda merupakan seorang pemimpin sukan yang berkaliber dan telah memegang jawatan sebagai residen Persatuan Bola Sepak Malaysia sejak tahun 1984 sehingga kini dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia sehingga tahun 2002.

Di bawah pimpinan Baginda, Malaysia berjaya memperolehi Piala Merdeka selepas 9 tahun dengan mengalahkan Korea Selatan 3-1 dalam masa tambahan pada 17 Februari 1993.

Jelas sekali bahawa Baginda adalah Raja Pemerintah serba boleh dalam semua bidang kehidupan masyarakat. Selain daripada terkenal sebagai Raja yang amat prihatin tentang kebajikan rakyat termasuk rakyat yang ditimpa musibah.

Daulat Tuanku.



Setem 60 sen

Setem bernilai 60 sen ini memaparkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah bersama Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom. Setem ini melambangkan keutuhan KDYMM Sultan Pahang yang telah memerintah Negeri Pahang Darul Makmur selama 36 tahun.

Turut dipaparkan di dalam latar belakang setem ini adalah alat-alat kebesaran Diraja Pahang seperti Payung, Panji dan Mahkota, yang digunakan semasa istiadat.


Setem 80 sen

Setem bernilai 80 sen memaparkan KDYMM Sultan Pahang berpakaian lengkap selaku Kolonel Yang DiPertua, tentera Udara Diraja Malaysia. Tenun Pahang iaitu tenunan sutera yang istimewa dari Negeri Pahang dan keris, yang merupakan sebahagian dari warisan Negeri Pahang dipaparkan di latar belakang setem bersama Gamelan Pahang; iaitu alat muzik yang berusia melebihi 200 tahun yang dimainkan di majlis-majlis.



Setem RM1

Setem bernilai RM1 memaparkan KDYMM Sultan Pahang berpakaian rasmi lengkap dengan Darjah-Darjah Kebesaran. Cop Mohor Diraja dan Singgahsana Takhta yang digunakan semasa upacara rasmi sahaja turut dipaparkan di latar belakang setem.



BUTIRAN TEKNIK

Tarikh Keluaran : 24.10.10
Denominasi : 60 sen, 80 sen, RM1
Saiz Setem : 40mm x 50mm
Tebukan : 14
Kandungan Helaian : 20 setem
Kertas : Tera Air SPM, Bersalut Fosfor
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak : Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk Setem : Hazel Design Sdn. Bhd.
Sampul Surat hari Pertama : 30 sen

2 Responses so far.

  1. Anonymous says:

    terima kasih .. minta ampun dan maaf bagi hamba yang hina ini .. daulat tuanku

Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings