Sep 25, 2010

Perayaan Jubli Perak Pemerintahan Al-Sultan Kelantan

0 comments

Jubli Perak Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra (1979-2004)

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra telah diputerakan pada 11 November 1949 di Istana Jahar, Kota Bharu. Baginda merupakan putera tunggal dan anakanda bongsu kepada Baginda Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Petra dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Zainab II. Dari sejak kecil lagi baginda telah diasuh dan diberi pendidikan dalam bidang agama, akademik dan selok-belok adat istiadat Raja-Raja Negeri Kelantan yang turun temurun. 

Pada 11 November 1967 ketika berusia 18 tahun, Baginda telah dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan. Baginda telah menaiki takhta Kerajaan sebagai Sultan dan Yang DiPertuan bagi Negeri Kelantan yang ke-28 pada 30 Mac 1979 berikutan kemangkatan ayahanda Baginda yang ketika itu selaku Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Pada 30 Mac 1980, Baginda telah ditabalkan menjadi Sultan dan Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim.
Perkahwinan Baginda dengan Duli Yang Maha Mulia Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid telah disempurnakan pada 4 Disember 1968 di Istana Kota Lama, Kota Bharu dalam istiadat penuh gilang gemilang seindah tradisi turun temurun Raja-Raja Negeri Kelantan Darulnaim. 


Hasil perkahwinan tersebut, Baginda berdua dikurniakan empat orang cahayamata terdiri daripada tiga orang putera iaitu Tengku Muhammad Faris Petra (Tengku Mahkota Kelantan), Tengku Muhammad Fa-iz Petra (Tengku Bendahara), Tengku Muhammad Fakhry Petra (Tengku Temenggong) dan seorang puteri iaitu Tengku Amalin A'Ishah Putri. 

Semasa Pemerintahan ayahanda Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra telah diberi pendedahan yang luas mengenai selok-belok pentadbiran dan struktur oerganisasi kerajaan. Segala pengalaman tersebut telah membantu Baginda mengendalikan pemerintahan dan membawa kemajuan kepada Negeri Kelantan. 

Sejak 25 tahun pemerintahan Baginda telah dapat disaksikan pelbagai perubahan dan kemajuan dicapai oleh Negeri kelantan terutamanya dalam bidang pembangunan tanah, pertanian, infrastruktur dan pendidikan. Di samping itu, Baginda juga bertanggungjawab meningkatkan kesedaran rakyat terhadap jatidiri bagi membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan. 

Kemajuan-kemajuan lain yang jelas semasa pemerintahan Baginda adalah dalam sektor perdagangan, industri dan pelancongan. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains Politik) oleh Universiti Ramkhamhaeng, Bangkok, Thailand pada 8 Januari 2002. Baginda juga telah dianugerahkan Darjah-Darjah Kebesaran Tertinggi dari dalam dan luar negara. Dalam aktiviti kebajikan dan sosial, baginda adalah penaung kepada pelbagai organisasi, pertubuhan, kelab dan yayasan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan adalah sangat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Baginda berduua juga sering membuat lawatan ke setiap pelusuk negeri bagi melihat sendiri keadaan kehidupan rakyat Baginda. Sikap Baginda berdua yang amat prihatin itu, membuatkan seluruh rakyat jelata menyanjung dan menyayangi Baginda berdua.



BUTIRAN TEKNIK

Tarikh Keluaran : 29.2.2004
Denominasi : 30 sen, 50 sen, RM1
Saiz Setem : 40mm x 30mm
Tebukan : 13
Kandungan Helaian : 20 setem
Kertas : Tera Air SPM Bersalut Fosfor
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak : Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk : Reign Associates Sdn. Bhd.

Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings