Sep 25, 2010

Proton Saga

0 comments
Kereta Nasional Malaysia

Kereta Nasional yang pertama, PROTON SAGA melambangkan detik permulaan penceburan Malaysia dalam bidang pengeluaran kereta. Pengeluaran kereta pertama ini adalah dalam dua bentuk kuasa enjin 1.3 dan 1.5 liter. PROTON SAGA direkabentuk khas oleh pereka Malaysia dan ia menggabungkan daya cipta terbaharu, ciri-ciri rekabentuk yang dinamis bertaraf antarabangsa setanding daripada segi mutu, prestasi, ekonomi, ruang dan keselesaan.

Nama saga dipilih hasil daripada satu peraduan menamakan kereta Nasional yang disertai oleh segenap lapisan masyarakat. Oleh kerana perkataan SAGA membawa makna yang simbolik serta kiasan yang melambangkan aspirasi nasional, ia dipilih untuk nama bagi Kereta Nasional yang pertama.

Kilang PROTON adalah yang terbesar di Asia Tenggara, meliputi kawasan seluas 550,000 meter persegi dengan kawasan berbumbung seluas lebih daripada 85,620 meter persegi. Kilang yang berbentuk L ini dilengkapi dengan alat-alat moden, automatik dan separa-automatik bagi menentukan keluaran Kereta Nasional yang bermutu. Kilang ini direka khas merangkumi tiga faktor penting, iaitu unsur-unsur sistem pengeluaran yang cekap, keselesaan tempat bekerja serta berkeupayaan untuk diperbesarkan pada masa depan. Perhatian utama telah diberi kepada aspek-aspek pengawalan pencemaran alam yang menggunakan peralatan dan kelengkapan yang moden.

Kilang pengeluaran ini mengandungi 4 bahagian utama, iaitu Bahagian Pembentuk Komponen Badan Kereta, Bahagian Pengecatan, Bahagian Pemasangan Badan Kereta dan Bahagian Merapi & Pemasangan Akhir. Kemudahan-kemudahan tambahan ditempatkan di kawasan yang strategik untuk mencapai kekesanan dan prestasi yang maksimum. Keseluruhan Kompleks Kilang PROTON ini melambangkan sebuah pusat pengeluaran yang komprehensif.

Pada peringkat permulaan, kilang PROTON ini berkeupayaan mengeluarkan 80,000 unit kereta setahun. Keupayaan ini akan dipertingkatkan kepada 120,000 unit setahun pada tahun 1988.

Industri kereta bermula di Malaysia dalam tahun 1967 dengan tertubuhnya syarikat pemasangan kereta tempatan yang pertama. Pada masa ini terdapat 12 buah syarikat pemasang kereta yang mengeluarkan lebih kurang 50 jenis model kereta yang berasingan untuk edaran dan penjualan di pasaran tempatan.

Dengan tertubuhnya syarikat PROTON, ia merupakan detik-detik permulaan dalam industri pembuatan kereta. Buat kali pertama negara Malaysia akan mengeluarkan kereta buatan Malaysia dan dalam masa yang sama membangunkan industri komponen. Projek ini merupakan salah sebuah industri yang diusahakan oleh Perbadanan Industri Berat (HICOM), yang merupakan syarikat induk yang telah diberi mandat untuk mempergiatkan pembangunan industri berat di Malaysia.

PROTON digerak untuk menjadi pemimpin di Malaysia dalam perusahaan kereta. Dengan usahasama pihak Mitsubishi Motors Corporation dan Mitsubishi Corporation, Jepun, yang akan sentiasa bekerjasama dalam bidang teknik dan latihan kakitangan, PROTON bertanggungjawab dan berkemampuan mengeluarkan Kereta Nasional yang bermutu tinggi dengan harga yang setanding.


BUTIRAN TEKNIK

Tarikh Keluaran : 9.7.1985
Denominasi : 20¢, 40¢ dan $1
Saiz Setem : 25.6 mm x 38.48 mm
Kertas : Tidak bertera air
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak : Waddingtons Ltd. England
Kandungan Sehelai : 100 setem

20¢ - menggambarkan kereta Proton Saga model 1.3S berwarna biru
40¢ - menggambarkan kereta Proton Saga model 1.3S berwarna putih
$1 - menggambarkan kereta Proton Saga model 1.5S berwarna merah

Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings