Terletak bersebelahan Tasik Titiwangsa di persimpangan Jalan Tun Razak dan Jalan Kuantan, Istana Budaya, bangunan yang menjadi rumah kepada Panggung Negara Malaysia, ialah teater lirik abad ke-21.
Dengan kos RM210 juta dan meliputi 5.44 hektar keluasan lantai 21,000 meter persegi, Istana Budaya boleh berbangga sebagai sebuah panggung yang pertama di Asia yang mempunyai mekanisma pentas yang tercanggih untuk pementasan teater. Kedudukan ini juga meletakkannya di dalam senarai 10 panggung yang tercanggih di dunia dan setaraf dengan Royal Albert Hall di London.
Sungguhpun idea untuk mewujudkan prasarana initimbul pada tahun 1971, kerja-kerja pembinaannya hanya bermula pada tahun 1995. Reka bentuk bangunan ini bercirikan kebudayaan Melayu dengan menggabungkan bahan-bahan tempatan di dalam kemasan dalamannya. Permaidani tebal bermotifkan dedaun pohon beringin menghiasi hampir setiap foyer dan lobi, sementara beberapa lukisan karya pelukis dan Seniman Negara Dato' Syed Ahmad Jamal mewarnai dinding.
Kebanggaan bangunan ini terletak pada teknologi empat pentasnya yang berbentuk prosenium berukuran 28 meter dan 25 meter setiap satu yang boleh diubahsuai mengikut kehendak sesuatu pementasan. Di hadapan pentas utama dan tersorok ke bawah ialah pentas orkestra yang memisahkan pentas utama dengan penonton semaksimum 1,469 orang.
Bangunan ini juga mempunyai kaunter menjual tiket (Box Office), sebuah studio ballet, sebuah studio kostum, 30 bilik persalinan yang dilengkapi dengan tandas, bilik mandi, bilik pakaian dan sistem TV liar tutup (CCTV) serta sebuah pejabat untuk kegunaan kumpulan teater undangan. Kemudahan lain termasuk ruang tamu untuk orang kenamaan, ruang tamu untuk artis, bilik perbincangan/mesyuarat untuk penggiat teater, Galeri Kostum Teater Tradisional Melayu, restoran, kafeteria, kedai buku dan cenderamata dan surau. Mereka yang kurang upaya juga disediakan lif dan alur khas.
Panggung Negara, organisasi yang mentadbir panggung negara Malaysia, bermula pada tahun 1974 sebagai Unit Bimbingan Seni, Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Unit ini kemudian berkembang menjadi Kumpulan Budaya Negara dan pada tahun 1994, wujud sebagai satu organisasi untuk mengendali perkembangan seni pentas terutama dalam usaha menuju kecemerlangan.
Logonya yang merupakan replika tiga helai daun sirih dengan setiap satu mewakili bahasa, gerak dan irama yang kesemuanya dibayangi oleh replika daun sirih yang keempat dan lebih besar yang mewakili teater adalah lambang kecemerlangan seni.
Tugas utama Panggung Negara ialah:
- membangun seni pentas di Malaysia ke tahap cemerlang
- meningkatkan khalayak dan penonton seni pentas
- memasrkan produknya secara intensif
- menggalak budaya penajaan seni pentas di kalangan sektor korporat dan individu
- membangun profesionalisme di dalam teater
BUTIRAN TEKNIK
Tarikh Keluaran : 31.8.1999
Denominasi : 30 sen, 50 sen & RM1
Saiz Setem : 27.94mm x 44.45mm
Tebukan : 13
Kertas : Tera air SPM, bersalut fosfor
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak : Security Printers (M) Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk : Peter Chuah PK
Sampul Surat hari Pertama : 20 sen
Setem 30 sen menunjukkan wayang kulit dan persembahan bangsawan, dua bentuk seni teater yang amat popular di zaman yang sudah berlalu hampir luput dalam menongkah badai zaman elektronik.
Setem 50 sen mempamerkan tarian Kuda Kepang dan Wau Bulan di latar belakangnya. Tarian Kuda Kepang melambangkan tenaga dan ketahanan, dua unsur yang mencirikan bentuk seni tari yang terdapat di Malaysia.
Setem RM1 mempamerkan rebab bertali dua dan rebana ubi. Kedua-dua alat muzik ini amat popular di negeri Pantai Timur Kelantan. Bunyi rebab mendayu-dayu dan mengusik jiwa, manakala rebana ubi pula dengan rentaknya yang ceria lagi bertenaga begitu menggamatkan hingga riuh seluruh kampung.
Bangunan Panggung negara yang diberi nama Istana Budaya digambarkan pada latar depan kesemua tiga keping setem berikut. Istana Budaya melambangkan kekayaan tradisi seni pentas yang telah diwarisi daripada pelbagai bangsa sejak turun-temurun bertandang untuk membina kehidupan di tanah air yang tercinta ini.
Post a Comment