Jambatan adalah unsur utama dalam jalinan komunikasi di antara bandar-bandar dan pekan-pekan yang dipisahkan oleh permukaan bumi atau sungai yang sukar. Peranan jambatan menjadi sangat penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia, bagi memudahkan jalinan dalam pengangkutan manusia dan barangan.
Pembinaan jambatan sepanjang abad yang lalu telah berubah dari jambatan berstruktur kayu yang ringkas kepada penggunaan besi dan konkrit yang canggih. Di antara jambatan yang dibina menerusi teknik kejuruteraan yang maju pada zaman tersebut adalah Jambatan Victoria, Perak yang dibina pada 1897.
Siri ini memaparkan jambatan-jambatan inovatif yang dibina sehingga kemerdekaan Malaysia pada 1957. Koleksi struktur bersejarah ini diberikan pengiktirafan kerana ia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri perlombongan timah, getah dan keseluruhan ekonomi negara.
Jambatan Merdeka, Kedah
Pada 1955, Jambatan Merdeka dibina dan dilancarkan secara rasminya pada 1957, yang merupakan tahun kemerdekaan Tanah Melayu. Merentasi Sungai Muda, sungai terpanjang di Kedah, jambatan ini menjadi penghubung utama bagi pengangkutan barangan dan penduduk sekitar. Sungai ini juga digunakan sebagai tanda sempadan di antara Pulau Pinang dan Kedah. Sungai Muda membekalkan air untuk kegunaan harian dan juga bagi pengairan sawah padi di daerah Seberang Perai, Pulau Pinang. Jambatan bergalang konkrit ini direka dan dibina oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia.
Jambatan Victoria, Perak
Jambatan Victoria di Karai, Perak adalah jambatan tertua di Tanah Melayu. Dibina pada tahun 1897, ketika itu ia adalah sebuah jambatan yang terunggul di Timur jauh dari segi kejuruteraannya. Jambatan ini menyediakan hubungan komunikasi untuk pertumbuhan industri perlombongan timah dan juga pembangunan bandar-bandar perlombongan di Semenanjung Tanah Melayu. Dengan pembukaan jambatan ini, keseluruhan kawasan Semenanjung Malaya dari Perai ke Johor Bahru telah dihubungkan dengan perkhidmatan keretapi.
Jambatan Kota, Klang
Bandar Klang dipisahkan oleh Sungai Klang dan dihubungkan menerusi Jambatan Brickfield yang dibina pada 1907. Ianya telah musnah pada 1941 semasa Perang Dunia Kedua, di mana ini mengakibatkan kesukaran yang ketara dalam pengangkutan dan komunikasi, terutamanya untuk barangan yang disalurkan dari Pelabuhan Klang ke bandar-bandar lain. Pada 1958, sebuah jambatan dua tingkat telah dibina, yang pertama seumpamanya di Tanah Melayu, dengan laluan pejalan kaki di bahagian bawah. Jambatan galang kerangka dua tingkat ini dinamakan Jambatan Kota.
Jambatan ini dibina pada tahun 1933 untuk memberi kemudahan pengangkutan di daerah Segamat sebagai usaha kerajaan bagi membangunkan aktiviti pertanian dan ekonomi daerah tersebut. Jambatan Sungai Segamat ini adalah dari jenis Bridge Steel Pratt Girder dan panjangnya adalah 99.43 meter. Ia menyediakan lintasan keretapi yang menyeberangi Sungai Segamat.
BUTIRAN TEKNIK
Tarikh Keluaran : 28.2.2008
Denominasi : 30 sen, 50 sen (dua rekabentuk), RM1
Saiz Setem : 50mm x 30mm
Tebukan : 14
Kandungan Helaian : 20 setem
Kertas : Tera Air SPM, Bersalut Fosfor
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak : Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk Setem : Reign Associates Sdn. Bhd.
Sampul Surat hari Pertama : 30 sen
Post a Comment