Oct 3, 2010

Planetarium Negara

3 comments











Planetarium Negara ialah sebuah lagi mercu tanda di bandar raya Kuala Lumpur. Kompleks ini tersergam indah di antara binaan-binaan penting di tengah-tengah kehijauan Taman Tasik Perdana yang menjadi tumpuan pelancong dari luar dan dari dalam negeri. Seni binanya uang unik merupakan gabungan seni bina Islam dan moden yang membayangkan wawasan yang gilang-gemilang.

Jentera pelaksanaan projek mula digerakkan pada awal tahun 1988 dengan persetujuan kerajaan untuk memperuntukkan tanah seluas kira-kira 14 ekar yang terletak di atas bukit di antara Pusat Islam dengan Muzium Negara untuk maksud pembinaan Planetarium ini. Ini disusuli pula dengan kelulusan peruntukan bagi pelaksanaan projek dan tenaga kerja. Dari sini segala tenaga ditumpukan bagi mengenal pasti skop dan keperluan sebenar projek serta konsep reka bentuk kompleks.

Seperti diduga, tugas ini bukanlah mudah, terutama kerana ia merupakan projek perintis di negara ini dan kepakaran teknikal tempatan untuk membina bangunan Planetarium belum ada. Walau bagaimanapun, dengan usaha gigih semua pihak yang terlibat, pembinaan kompleks telah dimulakan pada bulan Oktober 1990. Ini disusuli pula dengan kerja-kerja lain seperti pembinaan infrastruktur, pembelian dan pemasangan peralatan khas Planetarium dan kerja seni taman. Setelah mengharungi beberapa kesulitan, Kompleks Planetarium Negara ini akhirnya disiapkan pada 11 Februari 1993. Selepas itu kerja-kerja membina kemudahan rekreasi di keliling bangunan dimulakan.

Planetarium Negara pada asasnya bertindak sebagai pusat pendidikan yang berintikan sains angkasa. Ia diurus oleh Bahagian Kajian Sains Angkasa, Jabatan Perdana Menteri. Objektif muktamadnya adalah untuk meningkatkan kecelikan saintifik di kalangan semua lapisan rakyat negara ini mengenal sains angkasa. Pusat ini diharap menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam bidang sains angkasa yang menjunjung aspirasi negara untuk membentuk sebuah masyarakat sains dan teknologi yang berkemampuan untuk menghadapi cabaran kurun ke-21. Dalam usaha ini, Planetarium Negara bertindak sebagai penyebar maklumat melalui pameran kekal dan pameran bergerak, pusat sumber, tayangan-tayangan filem dan multimedia, majlis-majlis penerangan, ceramah dan kursus. Untuk mengekalkan daya persaingannya, usaha-usaha penyelidikan dan pengembangan mengenai kemajuan dan teknologi sains angkasa terkini akan diberi keutamaan.

Misi Planetarium Negara ini disokong oleh beberapa kemudahan. Tayangan-tayangan diadakan di panggung utama yang boleh memuatkan 203 orang pada sesuatu masa. Panggung ini terletak di bawah skrin kubah berukuran 20 meter garis pusat. Skrin tayangan dibuat daripada kepingan aluminium yang penuh dengan lubang-lubang kecil. Dua jenis pertunjukan disediakan; pertunjukan sains angkasa dengan menggunakan projektor bintang dan multimedia dan pertunjukan filem angkasa pula dipersembahkan melalui projektor filem format besar. Sebuah balai cerap yang dilengkapi dengan sebuah teleskop 14 inci dan eksesori berkeupayaan tinggi untuk memperhatikan dan mengkaji cakerawala. Di samping itu, sebuah dewan pameran tetap juga ditempatkan di ruang hadapan kompleks. Tidak ketinggalan, kompleks ini juga mempunyai sebuah panggung kecil untuk kemudahan seminar yang berupaya memuatkan 85 orang peserta dan sebuah pusat sumber.

Beberapa lagi kemudahan rekreasi disediakan, umpamanya galeri pemandangan, taman replika balai cerap purba dan kawasan istirehat. Kemudahan lain termasuklah sebuah restoran makanan segera dan sebuah gerai cenderamata. Sebuah jejantas pejalan kaki sedang dibina untuk menghubungkan Kompleks Planetarium dengan Muzium Negara.


BUTIRAN TEKNIK

Tarikh Keluaran : 7.2.1994
Denominasi : 30 sen, 50 sen dan RM1
Saiz Setem : 28mm x 38mm
Tebukan : 13
Kertas : Tera air SPM, bersalut fosfor
Proses Pencetakan : Litografi
Pencetak : Security Printers (M) Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, Malaysia
Kandungan Helaian : 100 setem
Pereka Bentuk: CD Advertising
Susun Atur Reka Bentuk : DeArt Forms Sdn. Bhd.

3 Responses so far.

  1. Anonymous says:

    dulu minat kumpul stamp jer....sampul surat pertama tu pun kawan bg....hhehe

  2. Ejen 010 says:

    sy pon apa kurangnye..ni pon koleksi ayah sy..kui³..

  3. angel says:

    Thanks for sharing :)

Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings