Nov 30, 2010

Burung Tropika (Keluaran Bersama Malaysia-Singapura)

0 comments

Burung Tropika || Tropical Birds

Hutan hujan tropika di Malaysia mengandungi lebih daripada 400 spesies burung, yang bergantung kepada ekosistem hutan hujan khatulistiwa. Kebanyakan spesies burung ini adalah beranika warna. Terdapat juga spesies-spesies yang berwarna kelabu dan perang yang susah dikenalpasti. Kebanyakan spesies burung ini mendiami kanopi hutan dan jarang dapat dilihat. Walau bagaimanapun suara mereka yang menarik kerap kali kedengaran. Banyak spesies juga telah menyesuaikan diri dengan habitat yang berbeza dan boleh dilihat di kawasan-kawasan yang berpokok di Malaysia dan Singapura. Ramai pelancong asing juga datang melawat Malaysia untuk melihat dan menghargai kecantikan burung-burung tropika yang terdapat di sini.

Burung-burung tropika adalah paling aktif di waktu fajar apabila mencari makanan. Makanan mereka beranika jenis terdiri dari cacing dan serangga hingga buah-buahan kecil, biji benih serta manisan bunga. Semasa musim membiak, burung-burung tropika lebih kerap mencari makanan supaya dapat memberi makan kepada anak-anak burung yang baru menetas.

Memerhati burung-burung tropika di habitat semulajadi mereka merupakan satu pengalaman yang menarik serta mendatangkan faedah. Selain daripada kawasan hutan, terdapat juga kawasan-kawasan yang berpokok di kebanyakan pekan kecil dan bandaraya di Malaysia. Burung-burung ini juga boleh diperhatikan dengan selesa dari ruang tamu rumah anda. Seseorang dapat menikmati kecantikan burung sebagai sebahagian daripada alam semulajadi kita. Siri setem ini merupakan keluaran bersama yang pertama di antara Malaysia dan Singapura.


Burung Dendang Selayang (Oriolus chinensis)

Burung yang menarik ini merupakan sejenis burung yang sering kelihatan dipersekitaran halaman rumah. Berukuran 27 cm, ianya mempunyai bulu yang kuning dengan topeng hitam yang mengelilingi mata dan bahagian belakang kepalanya. Suaranya yang amat berirama seakan-akan bunyi seruling, sentiasa kedengaran di kawasan-kawasan bandar dan desa. pada dasarnya burung ini juga suka memakan buah-buahan dan akan berkumpul di pohon-pohon yang sedang berbuah. Ianya agak jinak dan boleh diperhatikan pada jarak yang dekat.


Belatuk Gajah (Dryocopus javensis)


Spesies burung belatuk ini yang berukuran 43 cm, sering terdapat di kawasan kanopi hutan dan juga diperingkat-peringkat hutan yang lebih rendah. Warnanya hitam di bahagian atas dan putih di bahagian bawah. Kedua jantan dan betina mempunyai jambul merah. Jambul burung jantan adalah lebih tinggi dan menarik. Burung belatuk ini lazimnya bergerak secara bersendirian ataupun berpasangan untuk mencari makanan di celah-celah dahan ataupun batang pokok. Di Malaysia, spesies burung belatuk ini kerap dijumpai. Di Singapura pula, spesies burung belatuk ini hanya terhad kepada kawasan-kawasan hutan hujan tropika yang masih lagi tertinggal.


Dendang Gajah (Irena puella)

Spesies burung ini yang gempal dan berukuran kira-kira 25 cm merupakan satu spesies yang menarik. Burung jantan adalah biru dibahagian belakangnya dan hitam dibahagian bawahnya manakala burung betina adalah biru keseluruhan. Burung ini mendiami kanopi hutan dan bergerak di dalam kumpulan kecil. Makanan utama burung ini ialah buah-buahan dan ianya boleh dijumpai bersama-sama burung lain di pokok-pokok ara yang sedang berbuah. Mempunyai suara yang merdu serta menarik, ianya juga akan menangkap dan memakan serangga yang terbang di pinggir hutan. Di Singapura, burung ini hanya terhad di kawasan-kawasan hutan yang tertinggal.


Kelicap Pinang (Anthreptes rhodolaema)



Berukuran 13 cm, burung kelicap pinang ini seakan-akan serupa dengan Burung Kelicap Mayang Kelapa (Anthreptes malaccensis) yang lebih kerap dijumpai, kecuali burung ini mempunyai leher yang berwarna merah muda serta pipi dan sayap yang berwarna merah pulasan. Burung kelicap ini mendiami kanopi dan bahagian tinggi pokok-pokok hutan dan sentiasa mencari makanan dicelah bunga-bunga pokok hutan. Di Malaysia, burung ini terdapat di kawasan yang rendah sehingga 790 meter di atas paras laut. Ianya telah pupus di Singapura sejak tahun 1897. Sementara itu, spesies burung ini mempunyai suara yang nyaring dan tinggi.

Sepah Puteri Bukit (Dicaeum trigonostigma)

Burung kecil ini mendiami pinggir hutan, hutan belukar, ladang-ladang, matang serta taman-taman yang berpokok. Sentiasa aktif, burung ini kerap berkumpul di pohon-pohon yang sedang berbuah untuk memakan buah-buah kecil. Burung jantan sentiasa kelihatan menyanyi sambil hinggap di atas dahan-dahan kecil.


BUTIRAN TEKNIK


Tarikh Keluaran : 27.6.2002
Denominasi : 30 sen (2 reka bentuk), RM1 (2 reka bentuk)
Saiz Setem : 30mm x 40mm
Tebukan : 14
Kertas : Tera Air SPM, Bersalut Fosfor
Proses Percetakan  : Litografi
Pencetak : Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk Setem  : Teh Yew Kiang
Sampul Surat Hari Pertama  : 30 sen


Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings