Nov 16, 2010

Piala Thomas/Uber KL 2000

0 comments

Piala Thomas adalah lambang keulungan pasukan badminton lelaki. Pada tahun 1939, Sir George Thomas telah menghadiahkan piala perak bersadur emas setinggi 78 cm kepada IBF sebagai piala rebutan bagi kejohanan badminton sedunia. Kejohanan pertama dijangka berlangsung pada tahun tersebut. Malangnya Peperangan Dunia Kedua telah meletus.

Sir George Thomas merupakan pemain badminton yang handal pada zaman kegemilangannya. Beliau memenangi banyak kejuaraan termasuk gelaran juara perseorangan All-England sebanyak empat kali. Beliau juga presiden IBF yang pertama (1934-1955).

Kejohanan yang pertama telah diadakan di Preston, England pada tahun 1949. Malaya muncul juara setelah mengalahkan Denmark 8-1 dalam pertarungan akhir. Selain kemenangan tersebut, Malaysia telah menjuarai kejohanan ini sebanyak empat kali lagi iaitu pada tahun 1952, 1955, 1967 dan 1992. Sepanjang sejarah kejohanan ini hanya dua buah negara yang lain pernah memenangi piala rebutan ini iaitu China dan Indonesia.


Pada tahun 1956, beliau telah menghadiahkan Piala Uber yang direkacipta khas olehnya sendiri kepada IBF.

Pada tahun 1957 kejohanan pertama bagi wanita telah diadakan di England. Amerika Syarikat muncul juara setelah mengalahkan Denmark 6-1.

Amerika Syarikat memenangi dua lagi kejohanan ini secara berturut-turut selepas itu. Pada tahun 1966, Jepun merampas Piala Uber daripada Amerika Syarikat. China dan Indonesia merupakan dua lagi negara yang pernah menyandang kejuaraan ini.

Kejohanan pertama bagi alaf baru akan diadakan di Kuala Lumpur. Malaysia telah banyak kali menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Thomas selain menjadi tuan rumah Sukan Komanwel ke-16. Kini negara kita sedang mencuba untuk menjadi tuan rumah bagi Sukan Asia bagi tahun 2006.



Pos Malaysia memperingati kejohanan Piala Thomas-Uber KL 2000 dengan mengeluarkan setem se-tenant yang mengandungi 5 keping setem 30 sen dan sekeping lembaran mini.

Setem pertama menunjukkan tahap kecergasan fizikal yang perlu dimiliki oleh seorang pemain badminton di peringkat tertinggi. Pemain ini digambarkan sedang menyempurnakan satu pukulan kilas forehand ke arah gelanggang lawannya. Di belakangnya ialah logo Piala Thomas-Uber KL 2000.

Piala Thomas yang unggul menempati bahagian kanan setem kedua. Dalam kilauan piala gemerlapan ini terpantul bayangan maskot kejohanan Piala Thomas-Uber KL 2000 iaitu Bambee. Lapan bendera-bendera negara yang menyertai pusingan akhir dibarisi menegak mengikut kumpulan pasukan yang akan bertarung antara satu sama lain di peringkat pusingan awal.

Setem di tengah memaparkan BAMbee, maskot kejohanan. Dengan raket di tangan BAMbee kelihatan sedang berhadapan dengan logo kejohanan Piala Thomas-Uber KL 2000. Dalam konteks ini munasabah juga jika logo kejohanan itu disifatkan sebagai sekuntum bunga.


Piala Uber dipaparkan di sebelah kanan setem keempat. Lapan bendera-bendera yang menyertai pertandingan pusingan akhir kali ini menghiasi bahagian kiri setem ini. Bayang logo KL 2000 Piala Thomas-Uber tercermin dalam kilauan cemerlang Piala Uber.


Setem kelima menunjukkan seorang pemain wanita yang sedang membuat pukulan backhand drive. Bersama-sama di sudut kanan bawah setem ini ialah BAMbee, maskot kejohanan.

Lembaran mini menunjukkan seorang pemain lelaki sedang bersedia untuk membuat pukulan smash yang kencang ke arah gelanggang lawannya. Di sebelah kanannya ialah Piala Thomas yang menjadi rebutan. Jelas terpapar di bahagian atas setem ini adalah tahun-tahun Malaysia muncul juara.


BUTIRAN TEKNIK

Tarikh Keluaran : 11.5.2000
Denominasi : 30 sen x 5 (se-tenant)
Saiz Setem : 40mm x 30mm
Denominasi Lembaran Mini : RM1.00
Saiz Lembaran Mini : 120mm x 80mm
Saiz Setem Dalam Lembaran Mini : 30mm x 40mm
Tebukan : 13
Kertas : Tera Air SPM Bersalut Fosfor
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak : Security Printers Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk Setem : Peter Chuah PK
Sampul Surat Hari Pertama : 30 sen

Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings