Kejohanan Formula One merupakan sukan penonton yang ketiga terbesar selepas Sukan Olimpik dan Bola Sepak Piala Dunia. Pada 17 Oktober 1999, Litar Sepang F1, akan menjadi tuan rumah kepada pusingan kedua terakhir Kejohanan Formula One Dunia bagi musim yang ke-50. Grand Prix pertama untuk pemandu telah diadakan pada tahun 1950. Kira-kira 30,000 ribu peminat dari serata dunia dijangka akan bertumpu ke Sepang. Dua bilion penonton lagi akan menyaksikan pertarungan ini melalui kaca TV di rumah masing-masing. Berjumlah sebelas pasukan yang dibantu oleh kira-kira 2,000 kakitangan pakar akan mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan kira-kira 600 pemberita dari seluruh dunia akan datang untuk membuat liputan kejohanan ini.
Litar Sepang F1 yang menelan belanja RM286 juta ini menggabungkan kefungsian dan reka bentuk yang futuristik. Litar ini dapat menempatkan 30,000 penonton di astaka besar dan 100,000 lagi di astaka semula jadi yang terdapat di sekeliling litar ini. Litar sepanjang 5.6 kilometer ini diperaku oleh pemandu dan juga pemberita sebagai satu antara yang terbaik. Ia merupakan satu-satunya litar lumba yang mempunyai litar berbentuk 'V' yang dibina di tengah-tengah litar. Satu lagi ciri pendahulu yang tidak terdapat di mana-mana ialah Menara Kanopi. Bagunan Pit yang dianggap nadi litar ini menempatkan kawasan pit, pusat kawalan perlumbaan, pusat media, pusat perubatan, kelab padok dan Suite Perdana.
Dalam perlumbaan pertama yang diadakan untuk kereta pada penghujung kurun yang lalu, kelajuan tertinggi hanya 17 kmsj. Teknologi terkini membolehkan manusia membawa kenderaannya dari mula hingga mencecah kelajuan 100 kmsj dalam masa dua saat. Kini kelajuan 300 kmsj bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Pembangunan terbaru dalam teknologi pembuatan motokar tentunya akan terus mencabar kemahiran pemandu.
Malaysia berniat untuk melahirkan seorang pemandu Formula One dalam jangka masa yang terdekat. Namun lebih penting dari itu, pusingan ke-15 Kejohanan Formula One Dunia bagi musim 1999 yang diadakan di negara kita ini sudah tentu akan membawa manfaat kepada industri automotif yang kian membangun.
Setem 20 sen menunjukkan sebahagian daripada Astaka Besar berbentuk V juga kelihatan dalam bayangan pada cermin topi keledar pemandu. | |
Setem 30 sen menunjukkan sebahagian daripada Menara Kanopi juga dapat dilihat dalam bayangan pada cermin topi keledar pemandu. | |
Setem 50 sen menunjukkan pertarungan di litar dan sebahagian kelihatan dalam bayangan pada cermin topi keledar pemandu. Astaka semula jadi dapat dilihat di latar belakang. | |
Setem RM1 memaparkan pertarungan sengit antara dua pelumba yang berusaha untuk merebut tempat. Lakaran kenderaan peserta Malaysia ditunjukkan pada sebuah lagi kenderaan di latar belakang. |
Post a Comment