Nov 4, 2010

Spesies Katak

1 comments

Katak atau kodok, keseluruhannya dikenali sebagai Amfibia. Haiwan Amfibia menjalani sebahagian dari kehidupannya di dalam air dan sebahagian lagi di darat. Apa yang menjadikannya berbeza dari haiwan vertebrata lain ialah kulitnya yang berfungsi sebagai lapisan perlindungan dan juga sebagai organ pernafasan. Di antara ciri yang ketara bagi katak atau kodok termasuklah badan yang pendek dan gempal, tiada ekor, kaki belakang yang panjang dan hadapan yang pendek, mata yang besar dan mulut yang luas.

Satu lagi ciri yang ketara bagi katak atau kodok ialah kitaran hidupnya yang kompleks. Dengan sedikit pengecualian, katak atau kodok memulakan kehidupan sebagai larva akuatik, atau berudu dan melalui siri perubahan rumit yang dinamakan metamorfosis (penjelmaan) yang seterusnya menjadi bentuk katak atau kodok. Katak atau kodok bergantung kepada air, bukan hanya untuk pembiakan tetapi juga untuk meneruskan kehidupannya.

Malaysia adalah di antara 20 negara utama yang mempunyai banyak spesies amfibia termasuklah katak atau kodok. Kepentingan katak atau kodok dalam kehidupan manusia ialah dalam pengawalan serangga yang merupakan makanan bagi haiwan amfibia tersebut.


Katak Tanduk
● Horned Toad ● Megophrys nasuta

Megophrys nasuta mempunyai sifat khusus yang berbeza daripada katak jenis lain. Tanduknya sangat lebar, runcing, kelihatan berbentuk segitiga daripada pinggir kelopak matanya. Kaki belakangnya lebih pendek daripada kaki depan dan kebiasaannya katak jantan lebih kecil daripada katak betina. Warnanya adalah seperti warna tanah liat yang cerah hingga coklat kemerahan, dengan satu atau dua bintik hitam di belakangnya.

Rupa bentuknya yang seperti daun digunakan untuk tujuan penyamaran, Megophrys nasuta pada hakikatnya tidak dapat dikesan di dalam rimbunan daun di hutan melainkan sekiranya ia bergerak. Ia dicipta sempurna bersesuaian dengan persekitarannya.

Spesies ini hidup di kawasan tanah rata hingga kecerunan hutan hujan dengan pokok buluh yang tebal, di mana kawasan ini sejuk dan lembap. Biasanya ditemui di seluruh Borneo dan juga Sumatra serta Semenanjung Malaysia.

Katak Perang
● Spotted Tree Frog Nyctixalus pictus

Katak jenis ini kecil dengan muncung dan anggota belakang yang panjang secara relatifnya. Kulit belakang, kepala dan permukaan atas anggotanya adalah kasar dengan bonggol duri kecil yang banyak. Badannya kemerahan atau coklat kayu manis atau merah pucat dengan bintik putih berselerak di belakangnya, di sepanjang pinggir muncungnya dan juga di atas kelopak matanya.

Separuh di bahagian atas mata hitamnya adalah putih manakala separuh di bahagian bawah adalah coklat. Ini adalah satu perbezaan warna yang nyata dan tidak akan terkeliru dengan sebarang spesies lain. Saiz bagi spesies ini hampir sama di mana yang betina lebih besar daripada jantan.

Nyctixalus pictus hidup di hutan primer dan sekunder yang lama dan kebanyakannya ditemui di kawasan yang berbukit berhampiran dengan air. Spesies ini terdapat di seluruh bahagian Borneo kecuali Brunei, Selatan Thailand, Semenanjung Malaysia, Singapura, Sumatra dan Filipina.

Kodok Pokok
Brown Tree Toad ● Pedostibes hosii

Kodok Pokok atau nama saintifiknya Pedostibes hosii mempunyai badan yang besar, tegap dengan rabung bertulang yang tebal di belakang matanya dan bersambung dengan kelenjar paratoid yang kecil. Jarinya panjang dan jelas bentuknya, mungkin sebagai penyesuaian untuk mendaki. Di atas kepalanya licin dan di belakangnya terdapat sedikit kutil yang berselerak.

Saiz katak betina lebih besar daripada katak jantan. Warna katak jantan adalah coklat muda manakala katak betina hitam atau ungu gelap dengan pola bintik kuning. Kebanyakannya ditemui di hutan dara, tetapi ada juga ditemui di habitat sekunder yang lama. Spesies ini boleh ditemui di seluruh bahagian Borneo dan juga di Sumatra, Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand.

Katak Paya
Lesser Swamp Frog ● Rana (baramica) laterimaculata

Saiz katak daripada keluarga ranidae adalah kecil dan sederhana. Ia mempunyai kepala yang runcing dan muncung yang sedikit kelihatan bentuknya. Jarinya panjang dan hujungnya sedikit lebar. Ia juga mempunyai kutil berkelenjar yang kecil, rendah dan bulat di kulit bahagian atas dan kutil bujur yang berselerak di hagian sisinya.

Rana laterimaculata mempunyai garisan cerah di bibir atas yang bersambung daripada bawah mata ke bawah gegendang telinga. Warna belakangnya boleh berubah daripada sederhana coklat kemerahan ke coklat yang sangat gelap dan di bahagian bawah sisinya berwarna putih kuning.

Kawasan berpaya, hutan primer dan sekunder adalah habitat semulajadi bagi spesies ini. Ia mudah ditemui di Malaysia Barat dan Singapura serta di Kepulauan Borneo.


Katak Pokok Terbang
Wallace's Flying Frog Rhacophorus nigropalmatus

Katak Pokok Terbang Wallace ialah katak pokok yang besar dengan muncung yang hampir bulat dan kaki serta tangan yang besar. Jari tangan dan kakinya adalah berangkai sepenuhnya. Warna badannya adalah hijau berkilau dengan kuning cerah di bahagian sisi serta tapak kaki dan muncungnya. Secara relatif, anggota belakangnya lebih besar daripada anggota depan dan memberikan daya tujah yang lebih semasa melompat.

Katak jantan lebih kecil daripada katak betina. Katak ini merupakan penghuni bagi hutan primer atau balak pada kecerunan yang rendah. Ia turun daripada litupan hutan untuk membiak di takungan air yang keruh. Ia juga ditemui di atas dahan pokok yang rendah berhampiran lopak air yang berbentu akibat hujan yang lebat.

Katak Pokok Terbang Wallace boleh ditemui di Kalimantan, Sabah dan Sarawak. Spesies ini juga ditemui di Selatan Thailand, Semenanjung Malaysia dan Sumatra.


BUTIRAN TEKNIK

Tarikh Keluaran : 3.5.2007
Denominasi : 30 sen, 50 sen x 2 (reka bentuk)
Saiz Setem : 40mm x 30mm
Tebukan : 14
Kertas : Tera Air SPM, Bersalut Fosfor
Proses Percetakan : Litografi
Pencetak : Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd.
Pereka Bentuk Setem : Reign Associates Sdn. Bhd.
Sampul Surat Hari Pertama : 30 sen

One Response so far.

  1. Anonymous says:

    Setiap berita tentang hilangnya misterius Seorang pembelot itu ?

Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings