Nov 14, 2010

Ulang Tahun ke 25 Bank Negara Malaysia

0 comments

Bank Negara Malaysia telah ditubuhkan pada 26 Januari 1959 sebagai pihak berkuasa kewangan yang tunggal di negara ini dan bertanggungjawab ke atas pengeluaran matawang, pengurusan simpanan keuntungan negara dan juga bertindak sebagai jurubank kepada Kerajaan dan Penasihat Kewangan. Bank Negara juga bertanggungjawab kepada polisi kewangan dan membentuk pertumbuhan struktur kewangan di negara ini.

Satu daripada tugas pertama yang dilaksanakan oleh Bank Negara ialah mewujudkan bank-bank tempatan dan meluaskan perkhidmatan bank ke kawasan-kawasan desa dan bandar-bandar kecil yang tidak terdapat perkhidmatan sedemikian atau jika adapun hanyalah sedikit sahaja ataupun tidak terdapat langsung perkhidmatan bank. Melalui fungsi pengawalan dan penyeliaannya, Bank Negara mengawal perjalanan sistem bank dengan menggalakkan pengurusan yang cekap dan mengekalkan pengawalan sistem bank yang baik untuk mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem bank.

Sebuah pasaran saham tempatan telah ditubuhkan pada tahun 1962 untuk tujuan menambahkan pasaran modal dan Syarikat Diskaun juga telah ditubuhkan pada tahun 1963 dengan tujuan untuk membantu memajukan pasaran wang tempatan. Syarikat-syarikat kewangan juga telah diletakkan di bawah bidang kuasa Bank Negara pada tahun 1969 dan bank saudagar yang pertama telah ditubuhkan pada tahun 1970 untuk menyediakan perkhidmatan bank khusus untuk sektor pengusaha. Sehingga tahun 1983 terdapat 38 buah bank perdagangan dengan 608 cawangan, 41 buah syarikat kewangan dengan 248 cawangan, 12 buah bank saudagar dengan 15 buah cawangan, 5 buah syarikat diskaun, 2 buah pasaran saham dan beberapa buah pengantara kewangan yang khusus menyediakan keperluan perkhidmatan kewangan yang sedemikian meningkat dan sofistikated di negara ini. Terdapat hanya 23 buah bank perdagangan dengan 99 cawangannya dalam tahun 1959.

Matlamat utama Bank Negara ialah meningkatkan kestabilan kewangan sehingga pertumbuhan ekonomi berjalan selaras dengan kestabilan harga. Ini juga mempengaruhi pertumbuhan kewangan dan kredit melalui berbagai-bagai cara termasuk mengenakan keperluan-keperluan cadangan dan mudah tunai, mengenalkan garis panduan pinjaman, pengurusan kadar faedah dan perjalanan sistemkewangan dan pertukaran wang asing. Sebagai penguasa tunggal kewangan negara, Bank Negara juga menyelenggarakan sebilangan besar harga asing untuk menyokong matawang yang dikeluarkannya. Untuk meningkatkan Dasar Ekonomi Baru, bank-bank dikehendaki mengikut garis panduan pinjaman untuk menentukan bahawa pinjaman kredit boleh didapati dengan kos yang berpatutan bagi sektor-sektor di dalam ekonomi yang diberi keutamaan seperti masyarakat bumiputera, pengusaha-pengusaha kecil, pengeluaran makanan pertanian dan skim rumah harga murah dan sederhana.

Bank Negara juga merupakan penasihat kewangan, jurubank dan ejen belanjawan kepada Kerajaan Persekutuan serta sebagai jurubank kepada Kerajaan-kerajaan Negeri di mana terdapat cawangan-cawangannya. Bank Negara juga adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengeluaran matawang mulai Jun 1967. Mulai 15 September 1983, Bank Negara telah mengeluarkan wang kertas siri baru dengan rekabentuk yang baru dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih baik.

Bank Negara mengalami pertumbuhan yang pesat daripada segi organisasinya lebih daripada 25 tahun. Pada masa Bank Negara mula ditubuhkan pada tahun 1959, pentadbirannya hanya terdiri daripada 4 buah jabatan dengan bilangan kakitangan seramai 46 orang. Pada hari ini, Bank Negara telah berkembang dengan mempunyai 13 jabatan dan 8 buah cawangan yang terletak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuantan, Kuching, Kota Kinabalu, Alor Setar dan Ipoh. Jumlah kakitangan juga bertambah ke 1,800 orang. Rancangan pembangunan selanjutnya termasuklah pembinaan bangunan tambahan kompleks ibu pejabatnya dan pembinaan cawangan baru di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Melaka dan Shah Alam.



20 ¢ - Menggambarkan Bangunan Bank Negara Malaysia
Cawangan Ipoh dan dicetak dengan warna penuh
manakala perkataan-perkataan adalah berwarna
hitam dan biru.



$1 - Menggambarkan Bangunan Bank Negara Malaysia
Cawangan Alor Setar dan dicetak dengan warna penuh
manakala perkataan-perkataan adalah berwarna
hitam dan biru.



Logo Bank Negara Malaysia dilambangkan ke dalam kedua-dua setem.


BUTIRAN TEKNIK

Tarikh Keluaran : 26.1.1984
Denominasi : 20 ¢ dan $1
Saiz Setem : 26mm x 43.5mm
Kertas : Tidak bertikas air
Proses Percetakan : Offset Litografi
Pencetak : Security Printers (M) Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Malaysia
Pereka Bentuk Setem : Encik Phoon Poh Hoong
Sampul Surat Hari Pertama : 20 sen

Labels

1981 (1) 1984 (2) 1985 (2) 1986 (1) 1989 (2) 1992 (2) 1994 (3) 1996 (3) 1997 (1) 1998 (2) 1999 (4) 2000 (3) 2001 (7) 2002 (2) 2003 (3) 2004 (1) 2005 (1) 2007 (1) 2008 (1) 2010 (5) 2011 (4) bangunan dan tempat (14) flora dan fauna (10) kebudayaan (5) pengangkutan (4) peristiwa (10) raja dan tokoh (3) sukan (5)
__________________________________________ .
 
Sampul Surat Hari Pertama © 2011 DheTemplate.com & Main Blogger. Supported by Makeityourring Diamond Engagement Rings